Siapa ‘anasir luar’ yang Zahid maksudkan?

Siapa ‘anasir luar’ yang Zahid maksudkan?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

ULASAN Bercakap dalam majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno ke-70 di ibu negara pada hari Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah ditugaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk tubuhkan pasukan khas (taskforce) ‘menangani anasir luar yang cuba mencetuskan revolusi di negara ini’.

Ahmad Zahid mendakwa, ‘anasir luar’ itu termasuklah kumpulan hak asasi manusia Suaram, kumpulan pendesak pilihan raya Bersih 2.0, Majlis Peguam, portal berita Malaysiakini dan portal Sarawak Report.

Sebelum pasukan khas pimpinan Zahid menyiasat anasir-anasir luar tersebut, saya terpanggil untuk mengakui hubungan saya dengan ‘anasir’ yang beliau sebutkan.

Pertama, sebagai seorang peguam yang diterima beramal di Mahkamah Tinggi Malaya, saya menganggotai Majlis Peguam. Saya juga telah aktif terlibat dalam semua perhimpunan anjuran Bersih.

Saya juga merupakan pelanggan berbayar portal Malaysiakini. Saya turut menyokong dan menandatangani beberapa petisyen dan perjuangan Suaram. Di media sosial pula, saya turut rajin berkongsi tweet Sarawak Report.

Soalan saya kepada pemangku timbalan presiden Umno: adakah saya juga boleh dikira terlibat sebagai sebahagian daripada ‘anasir luar yang cuba mencetuskan revolusi di negara ini’?

Rasanya bukan sahaja saya yang mempunyai pertalian rapat dengan anasir yang diburu Zahid ini. Di Dewan Rakyat sahaja ada sekurang-kurangnya 74 Ahli Parlimen PKR, DAP, Amanah dan Warisan yang seperti saya turut mempunyai hubungan dengan sebahgian ‘anasir’ tersebut. Adakah kami semua juga terlibat sebagai suspek yang ‘cuba mencetuskan revolusi di negara ini’? Bagaimana dengan ratusan ribu rakyat yang mengundi kami ke Parlimen? Apa sebenarnya rancangan Zahid Hamidi untuk kami?

Majlis Peguam mempunyai hampi 20 ribu orang ahli, termasuk hakim-hakim, timbalan pendakwaraya yang juga pernah merupakan ahli sebelum menganggotai perkhidmatan awam. Adakah pasukan khas Zahid akan menyiasat mereka juga?

Penjawat awam dan pegawai kedutaan juga ramai melanggan Malaysiakini dan membaca Sarawak Report. Adakah mereka akan berhadapan masalah? Bagaimana dengan ratusan ribu rakyat bebilang kaum dan agama yang menyokong Suaram dan menyertai perhimpunan Bersih, adakah mereka juga harus bimbang?

Daripada membuang masa dan tenaga mengejar dakwaan-dakwaan tidak berasas, Zahid patut memberitahu Najib yang juga Menteri Kewangan untuk menubuhkan sebuah pasukan khas yang terdiri daripada ahli ekonomi, profesional dan usahawan terkemuka untuk memandu ekonomi negara daripada terjerumus ke lembah kehancuran, selain memperkukuh kedudukan nilai ringgit.

Persidangan Umno yang baru selesai Sabtu lalu hanya dipenuhi propaganda politik perkauman. Tak ada langsung perbincangan tentang keperluan rakyat terutamanya orang Melayu, tentang bagaimana Umno merancang untuk memperbaiki ekonomi.

TAGS