Siapa calon PM?: Bukan isu besar, kukuhkan kesepakatan pakatan pembangkang

Siapa calon PM?: Bukan isu besar, kukuhkan kesepakatan pakatan pembangkang

 

Masih terlalu awal pakatan pembangkang berbicara soal memilih siapakah calon sesuai sebagai perdana menteri sedangkan ia banyak bergantung kepada persepakatan dalam gabungan pakatan pembangkang, kata Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

(Dari kiri) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Azmin Ali, Datuk Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir antara calon perdana menteri bayangan oleh pakatan pembangkang sekiranya berjaya menumbangkan kerajaan BN pada PRU akan datang.

Masih terlalu awal pakatan pembangkang berbicara soal memilih siapakah calon sesuai sebagai perdana menteri sedangkan ia banyak bergantung kepada persepakatan dalam gabungan pakatan pembangkang, kata Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

“Siapa yang akan jadi ‘perdana menteri’ ia bergantung kepada Pakatan Harapan, Pas dan Bersatu.

“Sejauhmana tahap penerimaan, sokongan, kesetiaan dan keterbukaan untuk memilih mana-mana calon yang difikirkan bersesuaian perlu diambil kira.

“Pertamanya kecenderungan itu (memilih calon perdana menteri) banyak bergantung sejauh mana kemampuan gabungan pembangkang itu sama ada berjaya atau tidak menjatuhkan Barisan Nasional.

“Keduanya sejauh mana pula keyakinan dan kepercayaan untuk menzahirkan hanya ada satu pilihan saja (calon sesuai).

“Saya percaya usaha itu (memilih calon sesuai) akan dilakukan kerana ramai mengintai jawatan tersebut, kerana setiap parti ada calon yang mereka rasakan layak jadi perdana menteri,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Memperincikan lagi siapakah calon yang sesuai membabitkan pakatan pembangkang ini, Dr Sivamurugan lebih tertumpu kepada calon dari PKR, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, DAP dan Amanah juga mempunyai hasrat untuk meletakkan calon masing-masing tetapi sejauhmana kesediaan DAP meletakkan calon Melayunya dan Amanah pula ujarnya sebuah parti baharu yang mana kepimpinan pemimpinnya belum lagi teruji di lapangan yang lebih luas untuk dicalonkan sebagai perdana menteri.

Walaupun gabungan PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatah Harapan masih lagi baharu,tidak bermakna parti serpihan Umno seperti Bersatu pemimpinnya, harus dipilih sebagai calon perdana menteri.

“Semata-mata Muhyiddin berada di luar Umno-BN dan beliau juga bekas timbalan perdana menteri, pernah menjadi menteri, tidak semestinya Muhyiddin jadi pilihan.

“Barangkali ada muka lain yang turut mahu dijadikan pilihan sebagai calon perdana menteri yang dipersetujui Pakatan Harapan.

“Lagipun  Dr Mahathir masa ini tidak komited untuk membuat kenyataan bahawa Muhyiddin yang sesuai kerana organisasi Bersatu masih lagi belum laksanakan pemilihan rasmi parti itu.

“Pastinya selepas pemilihan parti secara rasmi sekiranya ada yang boleh memimpin, maka akan ada calon di pihak Bersatu yang akan diwarwarkan sebagai yang layak,” ujarnya.

Prof Dr Sivamurugan PandianBeliau juga merujuk kepada pendirian PKR sebelum ini yang membayangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun ujarnya lagi, usaha itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Anwar dibebaskan kerana mungkin akan ditentang dikalangan parti gabungan itu terutama Pas.

“Pada PRU 2013 ketika Anwar berada di luar hukuman,ketika itu Pas mahukan Hadi Awang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai PM.

“Sekiranya hari ini Anwar dibebaskan mungkin ia bersangkutan dengan kelayakannya sama ada sesuai atau tidak lagi memimpin negara.

“Saya percaya banyak rundingan diadakan sebelum ini antara PKR dan Pas.Setelah Pas keluar dari pakatan hingga hari ini PKR dan Pas belum mendapat persetujuan sama ada memilih Anwar atau Hadi,” ujarnya.

Ditanya sekiranya bukan Anwar, kemungkinan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali antara calon dikatakan sesuai  menjadi perdana menteri, Dr Sivamurugan berkata, ia bergantung kepada penerimaan Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar.

“Azmin mungkin dilihat menjadi antara calon sesuai untuk PKR selepas Anwar.

“Azmin berjaya menemukan Anwar dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin, serta usaha Azmin untuk memujuk Pas menyertai Pakatan Harapan.

“Ditambah pengalaman Azmin yang pernah berada di dalam dan luar kerajaan dan kini menjadi Menteri Besar.

“Tetapi sejauhmana PKR bersedia dan sejauh mana pula Wan Azizah mahu melihat timbalan presiden melangkaui Presiden?

“Ini akan menimbulkan isu lebih besar dalam PKR kerana meletakkan timbalan presidennya untuk dilantik sebagai calon perdana menteri,” ujarnya.

Menurut penganalisis siapa akan dipilih jadi perdana menteri dikalangan pimpinan pembangkang bukan isu besar pada masa ini.Siapa calon PM bukan isu besar

Malah Dr Sivamurugan juga berkata, isu siapa yang layak sebagai calon perdana menteri bukanlah isu besar yang harus difikirkan oleh pakatan pembangkang.

“Buat masa ini seharusnya pakatan pembangkang memikirkan sejauhmana kesediaan parti mereka mengatur strategi sekiranya bercita-cita menumbangkan kerajaan BN.

“Kesediaan mereka untuk mengunakan platform yang sama ‘satu lawan satu’ seperti disarankan Dr Mahathir berbanding melihat siapakah yang layak menjadi perdana menteri.

“Pemilihan calon perdana menteri isu sensitif jika salah sebut siapa yang layak ia boleh memberi implikasi yang besar kepada keseluruhan jentera parti pakatan pembangkang dan akan mengeruhkan hubungan antara parti dalam menghadapi pilihan raya,” ujarnya.

Malah beliau juga berkata, momokan Barisan Nasional bahawa Dr Mahathir mahu anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi perdana menteri, juga tidak seharusnya berlaku.

“Siapa calon perdana menteri boleh jadi salah satu faktor untuk menyerang pembangkang tetapi ia bukan faktor dominan.

“Ada banyak lagi faktor yang boleh diguna oleh kerajaan BN untuk melihat kelemahan pakatan pembangkang bukanlah memainkan isu Mukhriz bakal jadi perdana menteri seperti dikehendaki Dr Mahathir,” ujarnya.

Beliau juga berpandangan banyak faktor perlu diambil kira sebelum kerajaan memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 14.

“Andaian ada yang kata akan berlaku pada Mac atau September tahun hadapan.

“Buat masa ini kedua pihak dilihat perlukan persekitaran yang lebih kondusif, isu-isu dalaman parti perlu diselesaikan terlebih dahulu, kebarangkalian kerajaan BN dan pakatan pembangkang benar-benar bersedia menghadapi pilihan raya pada 2018,” telahannya.

TAGS