Siasat jika ada faktor kecuaian insiden kren tumbang

Siasat jika ada faktor kecuaian insiden kren tumbang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Siasatan menyeluruh dan punca sebenar mesti dilakukan segera berhubung insiden kren tumbang di kawasan pembinaan bangunan, kata timbalan pengerusi Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau berkata, sisatan perlu dilakukan bagi memastikan wujud faktor kecuaian dan ketidakpatuhan prosedur atau tidak.

“Langkah pembetulan serta pencegahan perlu diambil dan jika terdapat aspek kecuaian dan ketidakpatuhan pada prosedur pihak terbabit mesti didakwa.

“Begitu juga jika terdapat faktor rasuah dan penyelewengan pihak berwajib yang terlibat juga mesti dibawa ke muka pengadilan. Kita tidak mahu ia berulang lagi,” katanya ketika mengulas insiden jentera penanam cerucuk tumbang menghempap kereta di Jalan Meru, Klang, semalam.

Insiden tersebut mengakibatkan mangsa lelaki tempatan Abdul Rahim Abdul Rahman, 61 dan wanita warganegara Indonesia, Nurhayati, 56 terbunuh di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Sofi berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) memainkan peranan penting dalam memastikan aspek keselamatan diutamakan.

“Sudah kerap kejadian seperti berlaku. Apakah aspek-aspek prosedur dan aspek-aspek keselamatan pekerjaan (OSH) sudah dikesamping?

“Harap pihak berwajib seperti DOSH dan sebagainya lebih serius menguatkuasakan undang-undang. Mungkinkah juga prosedur dan undang-undang yanga da tidak berkesan?” katanya.

Kejadian kren tumbang merupakan kes kedua selepas kemalangan pertama pada 25 Ogos lalu membabitkan pemandu wanita, Chim Khoo Sing, 24.

Mangsa yang cedera parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan itu maut serta merta akibat dihempap besi penyangkut kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 di tapak pembinaan bersebelahan pusat beli-belah Pavilion di Jalan Raja Chulan.

TAGS