Pemuda Amanah serah memo siasat segera Climate Protectors

Pemuda Amanah serah memo siasat segera Climate Protectors

 

Kerajaan Negeri Kelantan diminta segera memohon kepada pihak berkuasa agar membekukan sejumlah besar wang yang telah diperolehi oleh syarikat yang dikaitkan bekerjasama dengan kerajaan negeri, sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

Pemuda Amanah Kelantan yang menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengkaji semula seterusnya membatalkan perjanjian konsesi menguruskan hutan seluas 1 juta ekar selama 30 tahun itu yang dianugerahkan oleh Kerajaan Kelantan kepada Climate Protector Sdn Bhd (EcoBit).

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata rakyat secara umumnya tiada masalah dengan projek Carbon Credit Trading ini, ia suatu projek yang baik demi kelestarian alam sekitar, bahkan mampu menjana pulangan kewangan kepada negeri Kelantan, jika dilaksanakan dengan betul sebagaimana yang digariskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bank Negara Malaysia dan REDD+, UNDP serta UNFCCC.

“Walaubagaimanapun, kami meragui status keupayaan dan integriti syarikat Climate Protector Sdn Bhd dan EcoBit yang memperolehi perjanjian ini.

“Berdasarkan latar belakang syarikat ini yang diragui dari pelbagai aspek.

“Tambahan pula, kedua dua buah syarikat ini telahpun disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia sebagai “unauthorised”, dan salah seorang Board of Director kedua buah syarikat ini iaitu Tang Too Siah atau TS Tang, terlibat dalam kes penipuan wang melibatkan skandal BTC Panda, yang mengakibatkan kerugian berpuluh juta ringgit di negara Indonesia dan Filipina,” katanya dalam memorandum yang diserahkan beliau sendiri kepada menteri besar selepas persidangan Dun di Kota Bharu hari ini.

Beliau risau sekiranya projek yang asalnya berniat baik ini akhirnya dipergunakan oleh syarikat berkenaan untuk satu lagi jenayah penipuan wang orang awam, berdasarkan 11 buah laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa penipuan itu kepada TS Tang.

“Kami menyeru pertimbangan wajar dan kebijaksanaan pihak YAB Dato dalam menyelesaikan isu ini, agar kepentingan, maruah, integriti dan imej pihak Kerajaan Negeri Kelantan terpelihara dari terus dikaitkan dengan syarikat yang meragukan ini,” katanya.

Sementara itu, aktivis masyarakat Hishamuddin Ghazali atau lebih dikenali Syam Ghaz menyerahkan surat bantahan terhadap projek pembangunan Lembah Binjai.

Beliau berkata penduduk meminta jasa baik kerajaan supaya menarik balik warta seksyen 8, kampung Chepa seluas 45 ekar melibatkan 144 lot.

“Kita tak main cakap di belakang, berani berdepan dan nyatakan kebenaran dan suara penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya 4 daripada 5 kampung yang penduduk perjuangkan sudah ditarik balik.

“Alhamdulillah, betul apa yang kami perjuangkan.

“Doakan Kerajaan Kelantan selepas baca surat bantahan ini untuk tarik balik Zon A, runding dengan penduduk buat penyusunan semula tanah mana yang boleh atau tidak,” katanya.

Satu lagi memorandum dari aktivis R turut diserahkan kepada menteri besar memohon ditubuhkan segara Perbadanan Petroleum Kelantan untuk menguruskan sendiri carigali minyak dalam kawasan negeri Kelantan.

TAGS