Siasat tindakan Jabatan Hutan Kelantan kepung kampung Orang Asli

Siasat tindakan Jabatan Hutan Kelantan kepung kampung Orang Asli

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ekoran kepungan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan terhadap masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi dan Pos Simpor, Gua Musang dengan menyekat laluan masuk ke perkampungan tersebut, Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat laporan polis hari ini.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai menyalahgunakan kuasa, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr Jeyakumar Devaraj berkata, pihaknya mahu polis menyiasat siapa yang memberikan arahan di sebalik sekatan termasuk kepada peguam, NGO dan media berdekatan Sungai Perias sejak 12 Oktober lalu itu.  

“Adakah itu tindakan persendirian pegawai tinggi dalam Jabatan Perhutanan atau arahan seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan?

“Adakah kaitan komersial di antara pihak yang memberi arahan menyekat akses dan tauke-tauke syarikat pembalakan yang beroperasi di kawasan itu? Adakah unsur rasuah dalam hubungan tersebut?” soalnya dalam laporan itu.

Walaupun mengakui Jabatan Perhutanan mempunyai kuasa untuk menyekat kemasukan ke mana-mana kawasan hutan mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan, beliau berkata, kuasa berkenaan adalah untuk melindung hutan daripada pencerobohan komersial bukannya mengepung Orang Asli yang sedang berjuang menghentikan pemusnahan hutan di sekeliling perkampungan mereka.

PSM membuat laporan polis hari ini menggesa siasatan dibuat terhadap tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan membuat sekatan masuk ke perkampungan Orang Asli di pedalaman Gua Musang. Foto PSM

Sehubungan itu, beliau berharap pihak polis bertindak secara profesional dalam menangani isu yang mencabuli hak asasi masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Pihak polis, jelasnya, perlu mengelak daripada menyebelahi pihak berkuasa Kelantan yang menyalahgunakan kuasa bagi meneruskan pembalakan yang membawa keuntungan lumayan kepada satu pihak elit yang kecil tetapi menyusahkan orang tempatan.

“Hak kebebasan bergerak di seluruh Persekutuan adalah termaktub sebagai Artikel 9(2) Perlembagaan Persekutuan. Ia hanya boleh disekat atas sebab keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam dan kesihatan awam. Mengapa masyarakat Orang Asli tempatan dikepung? Atas sebab apa?” soalnya lagi.

Beliau juga membidas sekatan terhadap barangan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan seperti didedahkan NGO Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).

Mengulas lanjut, Dr Jeyakumar berkata, masyarakat Orang Asli dari 33 buah kampung terbabit telah bertindak menghalang lori-lori balak daripada masuk ke wilayah mereka sejak dua minggu lalu selepas sejumlah memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan mengenai pelbagai masalah yang dialami akibat pembalakan di kawasan mereka tidak diambil berat.

“Umpamanya, dalam mesyuarat antara Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah di Kota Bahru pada Julai 2014, beliau telah berjanji satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat aduan mereka dan mencari penyelesaian yang adil terhadap tanah adat Orang Asli.

“Namun, sampai sekarang tiada sebarang perkembangan, dan pembalakan terus dijalankan di kawasan yang berhampiran dengan kampung-kampung mereka,” ujarnya lagi.

Pihak NGO alam sekitar mengakui Orang Asli di Gua Musang memerlukan bantuan dan sokongan banyak pihak selepas hutan didiami mereka diancam kemusnahan selain risiko penyakit berbahaya akibat sumber air tercemar. Foto R Malaysia

TAGS