Sidang akhbar yang serlahkan keindahan siasah Husam

Sidang akhbar yang serlahkan keindahan siasah Husam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keindahan pemikiran serta gaya politik Datuk Husam Musa terserlah di negeri Cik Siti Wan Kembang petang Khamis lepas. Kepulangan beliau ke Kelantan setelah mengumumkan dengan rasmi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada malam sebelumnya di Putrajaya memang ditunggu ramai. Sidang media itu sungguh berbobot dan menyerlahkan kemampanan beliau.

Sidang akhbar itu akan menjadi sejarah sebagai buah tangan pertamanya setelah menyertai Amanah dan ia akan dikenang selama-lamanya bila menyebut dan mengenang perjalanan politik baharunya.

Saya ikut berada di lapang terbang Pengkalan Chepa ketika sidang akhbar ringkas berdurasi 15 minit 17 saat itu tetapi tidak mengikut dengan cermat.

Baharu sekejap tadi berpeluang mengikut sidang akhbar itu dari klip video di Facebook. Ia memberi gambaran akan kualiti yang ada kepada bekas Naib Presiden Pas itu. Beliau tidak emosi jauh sekali mengambil langkah berkonfrontasi dengan bekas partinya, sebaliknya berlunak masih menaruh harapan yang Pas akan mempertahankan Kelantan daripada ditakluki Umno.

Sepanjang sidang akhbar itu beliau diapit oleh Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Naib Pengerusi Che Ibrahim Muhammad, Setiausaha Rushdan Mustafa dan lain-lain pemimpin kanan parti baharu berusia setahun itu.

Beliau sangat “tawaqquf” dengan keputusan yang diambilnya, yang bagi saya dalam keadaan terpaksa sambil berharap kepada Tuhan memberikan kebaikan kepadanya dan parti Amanah.

Sidang akhbar Husam yang menjadi sejarah sebagai buah tangan pertamanya setelah menyertai AmanahBekas setiausaha politik Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat itu memulakan sidang akhbar dengan membaca doa yang dibaca oleh Nabi Nuh a.s. sebaik bahteranya mendarat di puncak gunung Judi terletak di Ibed ibu negeri Turkistan. Gaya dan tradisi Husam saling tidak tumpah seperti sahsiah siasah Nik Aziz. Perilaku inilah menggambarkan beliau menghayati tarbiyah Almarhum Nik Aziz dan mengaplikasikan dalam diri dan perjuangannya apa yang dikutip selama bernaung di bawah sang murabbi itu.

Doa Nabi Nuh itu berbunyi; Ya Tuhan tempatkan aku ditempat yang penuh keberkatan, dan Kaulah sebaik-baik penempat.” Doa itu membawa maksud betapa sedar dan insafnya Husam bahawa selepas beliau terbuang daripada Pas, (atas takdir Allah), dia mengharap tempat atau wadah baharu yang baik dan penuh keberkatan. Beliau mengharap Amanah akan menjadi lebih baik dan bermakna daripada Pas.

Sikap ini menggambarkan Husam bukan menafikan parti yang disertai sejak berpuluh tahun itu, jauh sekali mengkhianati Pas seperti ditohmah dan dianggap sesetengah orang termasuk pemimpin utama Pas, tetapi beliau terpaksa mencari tapak baharu selepas Pas tidak “hinginkannya” lagi. Husam dipecat daripada Pas dengan kejam pada 23 April 2016.

Sebagai menyatakan kesyukuran kesudian Amanah menerimanya, Husam mengucapkan terima kasih kepada Abdul Rahim selaku Pengerusi Amanah Kelantan yang menyediakan tapak semaian untuk Amanah berkembang subur di Kelantan dan menjadi wadah baharu kepada pendokong Islam rasional di Kelantan di negeri itu.

“Terima kasih kepada Dato’ Rahim kerana berusaha membina tapak semaian untuk Amanah tumbuh berkembang di Kelantan, dan juga kerana sudi menerima saya menyertai Amanah” kata Husam.

Husam bukan seorang membuat keputusan secara gopoh. Sebelum ini beberapa kali Abdul Rahim mengajak Husam bersama Amanah, tetapi disambut dengan penuh taakulan. Ketaakulan itu menandakan Husam tidak gopah dalam membuat tindakan dan masih mengharap beliau diberi ruang dalam Pas. Sikap ini menandakan beliau masih kasih kepada Pas. Tanggapan Husam khianat kepada Pas adalah fitnah.

Mengenai parti yang baharu disertai itu Husam menetaskan harapan besar kepada parti itu sehingga ia akan menjadi parti memerintah di Kelantan yang akan membentuk sebuah negeri Islam. “Kita berharap rakyat memberi izin kepada Amanah membentuk kerajaan, dan kerajaan Amanah nanti menjadi sebuah model kerajaan Islam, yang moden, makmur, maju dan berketrampilan dan profesional,” katanya.

Disamping itu juga janjinya kerajaan Amanah nanti akan menjaga akhlak rakyat dan melaksanakan peraturan pentadbiran yang menghormati kedudukan semua kaum yang ada di negara ini dengan penuh bijaksana dan berhemah.

Husam yang juga Adun Salor dan kini menjadi Adun Amanah tunggal dalam DUN Kelantan terdahulu menyatakan keyakinan kepada potensi dan masa depan Amanah kerana ia didokong oleh orang-orang Umno dan Pas serta generasi muda yang mahu kepada satu bentuk siasah baharu yang dinamik dan terbuka serta jauh dari dogma agama.

“Umno senang dengan Amanah kerana tidak ada rekod Amanah mengkafirkan orang Umno seperti mana dilakukan Pas. Begitu juga dengan orang Pas mereka suka dengan Amanah kerana perjuangan Amanah meneruskan legasi Nik Aziz.”

“Perjuangan Amanah meneruskan ijtihad politik yang ditinggalkan oleh Nik Aziz di mana pendekatan itu ternyata berkesan dan hampir berjaya untuk menguasai pentadbiran Putrajaya,” kata Husam menjelaskan iltizam Amanah.

Ditanya mengenai kedudukanya dalam Amanah, Husam menjelaskan kedudukan dan pangkat tidak penting baginya. “Yang penting kini saya sudah ada jersi, bila ada jersi saya sudah boleh turun padang,” katanya dengan mengibaratkan dirinya sebagai seorang pemain bola yang pernah digantung atau dinafikan hak.

Tanpa mengira kedudukannya beliau bersedia berada di bawah pimpinan Abdul Rahim menunjukkan keikhlasan Husam dalam menyertai Amanah, bukan kerana jawatan tetapi komitmen kepada cita-cita rakyat. Katanya dia boleh bermain di mana sahaja hatta selaku penjaga gol.

Beliau mengimbau serta menzahirkan kepelikannya semasa dalam Pas dulu beliau digantung dan dijadikan pemain simpanan sahaja. Apa yang sedih katanya beliau tidak disenaraikan sebagai kesebelahan utama, tetapi “diboo” pula. “Saya pelik dengan orang Pas, saya pemain simpanan diboo, mereka tidak mahu sumbat gol tetapi boo saya,” ungkap Husam sambil tersenyum menyinis.

Menjawab persoalan mengenai senario politik di Kelantan menjelang pilihan raya umum akan datang ekoran kewujudan Amanah, Husam menjelaskan ada dua kemungkinan berlaku di Kelantan. Pertama mungkin berlaku pertandingan dua penjuru sekiranya Pas bersama Umno dalam BN. Pas-Umno akan berhadapan dengan Pakatan Harapan terdiri daripada Amanah, Bersatu dan Keadilan.

Senario kedua, mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan Pas, Umno dan parti Pakatan Harapan. Dalam kedua-dua situasi itu jelas Husam ia menguntungkan Amanah.

Dalam pada itu Husam tidak menolak Pas boleh bekerja sama dengan Amanah, bahkan perlu bekerjasama kalau Pas tidak mahu lihat Kelantan jatuh ke tangan Umno. “Pas boleh kita ajak bersama kita untuk berhadapan dengan Umno-BN untuk menyalamatkan Kelantan,” ujarnya.

Bagaimana pun tegas Husam ia ada syarat-syarat tertentu antaranya Pas perlu berjanji tidak meletakkan orang-orang yang menjahnamkan negeri dan celupar sebagai calon dalam pilihan raya. Tanpa menyebut nama dipercayai Husam merujuk kepada Mohd Amar Nik Abdullah, Nik Abduh Nik Aziz dan Nasaruddin Daud.

Menjelas lanjut kata Husam penyertaan Amanah dalam pilihan raya kelak adalah demi untuk menyalamatkan negeri Kelantan daripada ditakulki Umno. “Amanah wujud bukan nak berlawan dengan Pas tetapi menyelamatkan kerajaan peninggalan Nik Aziz,” katanya. Beliau membayangkan Amanah akan meletak calon di sekurang-kurangnya 35 kerusi.

Ditanya sejauh mana peluang Pakatan Harapan dalam pilihan raya nanti, Husam menyatakan keyakinannya, bahawa Pakatan Harapan mempunyai harapan untuk menang memandangkan perkembangan dalam negara yang ditadbir UBN kini sangat menekan dan menyusahkan hidup rakyat.

Katanya keadaan BN kini terkunci dengan kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga barang, taarif eletrik, GST, tidak bayar royalty minyak untuk Kelantan dan sebagainya.

Begitu juga dengan Pas, parti itu berhadapan dengan soal pelaksanaan pembangunan untuk rakyat mengecewakan, begitu juga didikasi kepada rakyat tidak memuaskan dan kerajaan Kelantan boleh dianggap hanya sekadar goyang kaki dan cakap kosong sahaja.

Selain itu keyakinan untuk Amanah dan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Kelantan dan Malaysia juga ekoran pembentukan pakatan baharu dengan wujudnya Bersatu dan parti-parti lain.

“Kemunculan Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Shafei Afdal di Sabah memberi keyakinan baharu kepada rakyat, bahawa rakyat melihat kita (oposisi) ada kemampuan untuk menjadi pengganti BN bagi mentadbir Malaysia,” katanya. Pakatan itu juga menurut Husam boleh menghapuskan dominasi DAP yang ditakut oleh sesetengah pihak.

TAGS