Sikap kebertanggungjawaban, penafian pemimpin dalam isu Memali, 1MDB

Sikap kebertanggungjawaban, penafian pemimpin dalam isu Memali, 1MDB

Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam kenyataannya baru-baru ini mahu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bertanggungjawan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam bertanggungjawab dalam menangani isu Memali pada 1986.

Dalam kenyataan itu ProWaris mendedahkan pertubuhan itu telah mengkaji Kertas Perintah 21 Tahun 1986 yang berkaitan dengan Peristiwa Memali yang ditandatangani oleh Tun Musa Hitam pada tarikh 25 Februari 1986.

Menurut kenyataan itu ProWaris telah menganalisa pengakuan peribadi Tun Musa sendiri dan rentetan perdebatan Pas di Dewan Rakyat.

“Ternyata ia berpunca dari ‘fatwa sesat’ Datuk Seri Haji Hadi Awang yang berfahaman ekstrimis lagi teroris terhadap kerajaan BN-UMNO.

“Berdasarkan penelitian kami ke atas Kertas Perintah 21 Tahun 1986 tersebut.

“ProWaris memberi penghormatan tertinggi kepada Tun Musa Hitam kerana sanggup mengaku bertanggungjawab (accountable) dengan menggariskan secara terperinci sebab-musabab di atas tindakan yang terpaksa diambil bagi mengelakkan kerosakan dan kemusnahan yang lebih besar demi menjamin keselamatan negara pada ketika itu,” ujarya kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan pada 17 Ogos lalu,  susulan  insiden yang berlaku membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam program anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu) pada 13 Ogos dalam insiden  baling kerusi, suar, kasut dan botol air ke arah pentas berlaku sejurus soalan berkaitan kejadian Memali ditanya oleh salah seorang hadirin.

Menurut ProWaris lagi, persoalan yang lebih utama dan menjadi tanda tanya adalah, sekiranya Tun Musa Hitam mampu untuk mengaku bertanggungjawab (accountable) terhadap peristiwa berdarah Memali, mengapa masih ada sindrom penafian (denial) oleh pemimpin-pemimpin negara yang lain terhadap skandal, krisis atau salahlaku pada zaman pentadbiran mereka?

“Dalam kes Memali, sangat jelas bahawa arahan dan tindakan ke atas perusuh itu sebenarnya adalah daripada IGP dan OCPD, namun Tun Musa Hitam secara budiman (gentleman) mengaku bertanggungjawab terhadap peristiwa Memali tersebut.

“Sikap bertanggungjawab (accountable) ini adalah kunci kepada proses meletakkan jawatan secara terhormat, yakni satu amalan terpuji kepimpinan antarabangsa yang tidak dipraktikkan langsung di Malaysia.

“Jika sikap Tun Musa ini dapat dicontohi oleh para pemimpin negara pada era terdahulu, mereka tidak perlu risau untuk bertanggungjawab sekiranya mereka dipalitkan dengan skandal pada zaman pentadbiran mereka kerana mereka tidak lagi mentadbir dan berkuasa,” ujar kenyataan itu.

{loadposition myposition} Justeru kenyataan menyebut pihak yang jelas berhadapan dengan masalah yang sangat besar adalah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang masih mengelak, menafi dan tidak mahu mengaku bertanggungjawab terhadap skandal berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Beliau masih mentadbir negara dan nampaknya mahu terus mengekalkan kuasanya selama mungkin.

“Yang lebih kritikal dan perlu mendapat perhatian semua Rakyat adalah sindrom penafian (denial) ini yang menular di dalam pentadbiran UMNO-BN setelah sekian lama.

“Pada hari ini kita dapat menjadi saksi bagaimana perdanamenteri yang memegang punca kuasa utama negara sentiasa menafikan penglibatan beliau di dalam skandal 1MDB.

“Sekiranya para pemimpin negara terdahulu mula mengambil langkah untuk mengaku bertanggungjawab dalam semua skandal atau krisis yang berlaku dengan memberi sebab-musabab tindakan secara telus dan tulus, sudah pasti akan menyebabkan malu yang amat besar terhadap perdana menteri yang masih tidak menjawab dan terus menafikan penglibatan beliau dalam skandal 1MDB.

“Sikap penafian (denial) yang jijik ini juga telah mengakibatkan ekonomi negara dikepung oleh dana modal antarabangsa (international capital ambush) yang menuntut keadilan bagi pihak Rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

“Budaya kebertanggungjawaban yang semakin lupus ekoran golongan yang rakus mengejar kuasa dan harta perlu disuburi semula di kalangan para pemimpin agar lebih telus dan telus. Budaya ini jika diamalkan dengan baik, mampu mengelakkan kos untuk menubuhkan Badan Siasatan Di-Raja atau Badan Siasatan Bebas yang akhirnya dibiaya oleh dana rakyat, walhal sepatutnya ia digunakan untuk perkara-perkara jauh lebih bermanafaat,” ujarnya.

Justeru ProWaris sebagai NGO yang bersifat apolitical menyuarakan kebimbangan terhadap kemuncak sindrom penafian (denial) ini yang pastinya akan mencalarkan roh generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara di masa hadapan.

“ProWaris telah berkali-kali mengingatkan para pemimpin negara bahawa Malaysia ini dipinjam dari mereka yang akan mewarisinya dari kita.

“Maka pastikanlah Malaysia ini diserah dalam keadaan makmur dan sejahtera bukan dalam keadaan yang porak-peranda sebagaimana yang berlaku pada hari ini,” ujar kenyataan itu.

TAGS