Sikap paling bijaksana ketika disakiti saudara sendiri

Sikap paling bijaksana ketika disakiti saudara sendiri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sesungguhnya indahnya kehidupan ini adalah hasil dari adunan pelbagai pengalaman yang dilalui. Tidak semuanya manis, seronok dan menyenangkan. Apatah lagi, pengalaman berinteraksi dengan insan.

Bukan semuanya menyenangkan. Malah, ada ketikanya, mereka yang paling akrab di sekeliling kita sendiripun, mungkin berlaku silap dan menyakitkan.

Bagi seorang yang beriman, dia akan berfikir positif dan menerima sebaiknya dengan lapang dada dan tenang. Segala gangguan itu akan menjadikan dia lebih tabah, teguh dan berkeyakinan.

Di masa sama, dia ambil kesempatan untuk bermuhasabah diri dan mencari langkah perlu dan terbaik untuk memperbaiki keadaan.

Jangan biarkan tingkah laku orang lain merobah ‘mood’ dan keceriaan kehidupan. Elakkanlah perlakuan buruk mereka menjadikan kita diliputi rasa sedih, kecewa, apatahlagi dendam dan kebencian. Akibatnya, tanpa sadar, kita mencipta kegagalan demi kegagalan.

Adalah amat mulia, jika kita dapat setulus hati memberikan kemaafan. Inilah pancaran kehalusan hati dan ketinggian iman. Orang bijaksana, mampu merobah segala ancaman dan tekanan, sebagai peluang dan kesempatan mendapatkan peluang dan kebajikan.

Inilah juga faktor kejayaan dan kecemerlangan mereka yg telah berjaya dalam pelbagai sektor kehidupan.

Justeru, meski di dada kita panas membara, cuba sebaik-baiknya kita dingin di kepala. Elakkan sama sekali membalas dengan kata-kata tuduhan dan melukakan. Inilah yang dinamakan kemahiran asertif. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Hakikatnya, tidak siapa di antara yang sempurna. Semua kita tetap ada kekuatan dan kelemahan. Kita disuruh saling lengkap melengkapkan.

Bagi yang berjiwa besar, mereka akan ambil kesempatan untuk bersemuka dan berterus terang. Bersama-sama mencari melerai kebuntuan mencari kejernihan. Dengan penuh mahabbah dan kasih sayang. Bagai menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus.

Satu Allah Ta’ala berfirman dalam QS. Ali Imran (3) : 159 yang artinya:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”.(Q.S. Ali-Imran: 159).

Kesimpulannya, jangan biarkan alam sekitar mengawal gerak tuju hidup kita. Kuasa kawalan itu berada dalam diri kita sendiri. Dengan niat yang benar dan ikhlas, hadapilah segala cabaran berlaku dengan siap siaga dan berkeyakinan. Anda akan beroleh kejayaan. Dengan izinNya. InsyaAllah.

Semoga Allah permudahkan hati kita mencapai makam yg tersebut di atas, demi kejayaan apa jua bidang kehidupan. Lebih utama lagi untuk beramal dengan perintah-Nya, demi keredhaan dan ampunan-Nya jua (di dunia dan akhirat). Wallahu’alam.

 

CATEGORIES