Sikap pemimpin punca Melayu, Islam berpecah

Sikap pemimpin punca Melayu, Islam berpecah

Perpecahan politik Melayu dan Islam di negara ini bukan disebabkan munculnya banyak parti tetapi berpunca daripada sikap pemimpin parti itu sendiri, tegas Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda.

Menurutnya, masyarakat Cina di negara ini mempunyai lebih banyak parti politik tetapi mereka secara umumnya tidak pula mengalami perpecahan ketara.

“Yang menyebabkan perpecahan dalam Islam dan Melayu ini bukan sebab banyak parti tapi amalan pimpinan parti politik itu.

“Parti orang Cina di Malaysia ada tujuh tapi adakah masyarakat Cina di negara ini bergaduh? Adakah sesama mereka berpecah? Di kalangan mereka tidak ada memfitnah orang lain.

“Bukan mudah-mudah (tuduh) munafik, kafir pada orang lain hanya kerana berbeza pandangan,” ujarnya dalam ceramah sempena program Gempur Pemuda Zon Timur di Pasar Paka kelmarin.

Beliau berkata, kewujudan pelbagai parti politik sebenarnya menguntungkan rakyat apabila masing-masing berlumba untuk melakukan kebajikan.

“Bantuan untuk orang susah lagi banyak. Tidak sampai seminggu ada bantuan dari parti lain datang. Ini satu yang baik untuk rakyat,” katanya dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu.

Mengulas tentang status Amanah sebagai parti Islam, beliau berkata, rakyat yang akan menilai kedudukan sesebuah parti itu.

“Kita InsyaAllah parti Islam sebab dasar Amanah juga meletakkan al-Quran dan hadis sebagai asas perlembagaan. Bezanya dengan Pas adalah dari segi pendekatan.

“Isu RUU (Rang Undang-undang) 355, Amanah menyokong apa juga usaha untuk menegakkan undang-undang Islam di negara ini. Kita menyokong Mahkamah Syariah diperkasakan tetapi ada caranya,” tegasnya.

Hasbie yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Pas Pusat menegaskan pihak yang menuduh Amanah menolak pindaan Akta 355 itu sebagai memfitnah.

“Bagi Amanah, kalau kita nak pinda undang-undang, perkara pertama perlu dibuat kita mesti dapatkan kuasa sebagai kerajaan terlebih dahulu sebab nak pinda undang-undang terletak pada kuasa kerajaan bukan kuasa parti pembangkang.

“Kalau berhimpun di padang Paka pun, mari 100,000 duduk seminggu tak balik-balik, tapi kalau kerajaan kata tak mahu dipinda, tidak akan dipinda,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan parti-parti yang bertanding mesti berjuang bersama dengan rakan yang lain untuk memperoleh sokongan rakyat.

“Sekarang DAP dituduh tolak hudud. Kenapa zaman Almarhum Nik Aziz boleh berpakat dengan DAP? Pendirian DAP, MCA, MIC tentang hudud adalah jelas.

“Tapi kita perlu berpakat. Itu formula untuk mendapatkan kuasa. Umno pun tidak pernah bertanding sendirian, tidak pernah bertanding guna logo ‘merah’ (Umno) itu. Sejak tahun 1959, guna logo kapal layar kemudian logo dacing sebab dia tahu kalau bersendirian – kalah,” jelasnya lagi.

TAGS