Sindiket curi hasil laut didalangi ‘orang atasan’, dakwa Raja Bahrin

Raja Bahrin Shah dalam sidang media di bangunan parlimen pagi tadi.

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penguatkuasa Maritim mendedah beberapa sindiket ‘usahasama’ membabitkan orang tempatan, kakitangan penguatkuasa serta warga dan nelayan Vietnam dalam aktiviti penangkapan ikan secara haram dan kecurian hasil laut di perairan negara tidak memadai untuk mengatasi masalah yang timbul sejak sekian lama.

Sambil mengucapkan tahniah terhadap pendedahan itu, ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah bagaimanapun menyifatkan pendedahan itu sebagai “permulaan kepada proses yang panjang” kerana percaya banyak lagi ‘pihak atasan’ yang terlibat masih belum di dakwa.

“Pada kebiasaannya kes-kes seperti ini hanya ikan bilis dan kecil dikenakan tindakan. Sindiket sebegini telah lama berakar umbi di Malaysia dan mempunyai ‘godfather’ yang berpengaruh serta berkedudukan tinggi.

“Persoalan sekarang adalah sejauh mana SPRM dan pihak berkuasa lain akan berusaha untuk mendedahkan dan menghapuskan sindiket haram nelayan asing ini untuk jangka masa yang panjang?” ujarnya dalam sidang media di bangunan Parlimen, lewat pagi tadi.

Menurut beliau, pendapatan daripada kecurian dan kehilangan 980,000 tan metrik tangkapan laut setahun yang berharga di antara RM4 bilion hingga RM6 bilion terlalu lumayan untuk di lepaskan begitu sahaja oleh sindiket yang begitu kaya dan boleh membeli pengaruh orang atasan.

Malah jelas beliau, sindiket ini beroperasi melalui pangkalan jeti khas di selatan Vietnam.

Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk mengaitkan ‘orang atasan’ dan berpengaruh dengan sindiket itu antaranya kemampuan mereka menawar rasuah setinggi RM100,000 kepada pegawai penguatkuasa Maritim.

Raja Bahrin turut mempertikaikan bagaimana seorang wanita warga Vietnam yang disyaki anggota sindiket boleh mendapat gelaran Datuk jika tidak mempunyai hubungan dengan orang yang berpengaruh.

Nelayan haram Vietnam juga, tambah beliau boleh mengetahui dan mengelak tangkapan bot penguatkuasa sebaik sahaja nelayan tempatan membuat aduan yang menunjukkan wujud kebocoran maklumat dalaman.

Beliau turut mempertikaikan mengapa kapal nelayan Vietnam yang ditahan kerana aktiviti haram boleh dibebaskan dalam waktu yang singkat dan hanya dikenakan denda yang rendah.

Malah tambah beliau, aktiviti sindiket haram bot kargo yang memindah ikan di tengah laut tidak dikenakan tindakan sewajarnya sehingga sekarang.

Apa yang lebih mendukacitakan, ujar beliau aduan dan cadangan nelayan tempatan terhadap aktiviti sindiket ini diremehkan tanpa tindakan sepatutnya dan pihak berkuasa hanya bertindak apabila pilihan raya sudah hampir.

Beliau juga kesal kerana aduan dan cadangan ahli parlimen serta nelayan yang dibuat di parlimen sejak beberapa tahun lalu kepada beberapa menteri tidak diberi perhatian serius.

Sebagai rekod Raja Bahrin memulakan inisiatif membawa wakil nelayan bertemu menteri pada setiap tahun untuk mengemukakan masalah yang mereka hadapi termasuk ancaman nelayan asing.

Raja Bahrin menambah, sindiket membabitkan nelayan asing ini telah lama diperkatakan nelayan tempatan tetapi terus dibiarkan berleluasa serta berakar umbi.

“Ia akan memerlukan ‘political will’, azam yang kuat untuk di basmikan dengan berkesan,” tegasnya.

Beliau juga percaya mereka yang telah ditangkap dan dinamakan tempoh hari tidak berupaya merancang urusan berharga berbilion ringgit tampa bantuan orang atasan.

Malah katanya, segala laporan media tentang tindakan yang baru diambil terhadap aktiviti haram ini, membuktikan segala aduan yang dibuat nelayan tempatan adalah benar dan tepat.

Raja Bahrin juga mahu tindakan penguatkuasaan yang diambil diteruskan tanpa mengira musim pilihan raya umum dan hasrat kerajaan BN untuk mencapai tahap kosong rasuah terlaksana.

“Jangan jadikan ini seperti operasi menangkap pegawai dan lantikan kerajaan yang menyeleweng bantuan rumah nelayan miskin dua tahun lepas yang telah senyap berkubur selepas satu operasi sahaja. Itu sekadar melepas batuk di tangga.

“Saya mencabar Datuk Seri Najib dan Menteri Pertanian, yang kedua-duanya berasal dari negeri nelayan Pantai Timur iaitu Pahang dan Terengganu, untuk membuktikan kesungguhan kerajaan membanteras rasuah sehingga mencapai tahap kosong rasuah seperti dijanjikan,” tegas beliau.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS