Singkirkan PM tunggu masa pilihan raya, kata  Abdul Kadir

Singkirkan PM tunggu masa pilihan raya, kata Abdul Kadir

 

 

 

 

 

 

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata tindakan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sepatutnya dibuat pada waktu pilihan raya.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata tindakan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sepatutnya dibuat pada waktu pilihan raya.

 Selepas itu, katanya, parti yang mewakili majoriti di parlimen akan menentukan siapa yang layak menjadi perdana menteri.

“Kita kena tunggu pilihan raya akan datanglah untuk serah balik mandat pilih kerajaan dan lepas itu parti yang mempunyai banyak sekali ahli parlimen akan menentukan pula siapa yang akan jadi PM,” katanya dipetik dalam satu wawancara bersama Mingguan Malaysia, hari ini.

Kadir berkata, meskipun BN kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen, gabungan parti itu masih mendapat sokongan majoriti wakil rakyat dan dua pertiga rakyat di seluruh negara.

“Di parlimen BN mendapat sokongan majoriti. Kalau tidak dua pertiga pun, hampir dua pertiga daripada jumlah wakil- wakil rakyat sokong BN untuk terus menjadi kerajaan, bermakna hampir dua pertiga daripada rakyat seluruh negara sokong BN.

“Siapa pula menjadi ketua BN? 14 parti politik dalam BN mahu Datuk Seri Najib  jadi ketua di parlimen, malah dalam Umno pula hampir 95 peratus daripada ketua bahagian sokong beliau.

“Jadi siapalah kita untuk menidakkan hak rakyat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendirian Ikatan terhadap Deklarasi Rakyat yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, Kadir berkata beliau merasa sedih tetapi dapat memahami tindakan bekas perdana menteri itu.

“Saya kasih kepada Tun Mahathir dia memang manusia luar biasa, jasa beliau kepada negara juga luar biasa tetapi waktu dia jadi perdana menteri pun ada juga 10 hingga 20 peratus cara dia saya tidak bersetuju, tetapi saya ikut sahajalah sebab dia perdana menteri dan 70 hingga 80 peratus lain itu saya setuju.

“Memang saya juga sedih sebab beliau terpaksa pergi sampai peringkat ini, tetapi saya boleh faham sebab saya sendiri 56 tahun bergelumang dengan Umno, 56 tahun saya jadi ahli Umno dan pegang jawatan dalam Umno. 10 tahun dalam exco pemuda Umno, 26 tahun majlis tertinggi Umno, 30 tahun jadi ahli parlimen, tetapi mengapa saya keluar?

“Saya keluar sebab orang cabar, sebab saya tidak bersetuju dengan amalan politik wang.

“Jadi saya boleh faham mungkin ada sesuatu Tun Mahathir rasa terlalu kecewa sehingga dia sanggup buat begitu,” ujarnya.

TAGS