Sistem nilai dalam Umno telah punah, kata Muhyiddin

Sistem nilai dalam Umno telah punah, kata Muhyiddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sistem nilai dalam Umno telah punah apabila mereka (pemimpin) yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah.

“Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini Umno akan rosak dan ditolak oleh rakyat,” kata bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Muhyiddin mendedahkan bagaimana beberapa pemimpin utama Umno datang menemui beliau bagi mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya.

“Mereka meminta saya melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang Umno akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

“Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib.

“Mudah-mudahan dia (Najib) bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan Umno dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib,” dedah Muhyiddin.

Akhirnya apabila keadaan bertambah teruk, beliau mengambil tanggung jawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata, mesyuarat kabinet, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan akhirnya dalam platform parti secara terbuka.

Bagaimanapun bekas Timbalan Perdana Menteri itu kesal kerana orang-orang yang sebelumnya datang menemuinya mula menjauhkan diri apabila beliau mula bersuara dan menjadi orang yang paling lantang mengecamnya hari ini.

“Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam Umno?

“Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk menyatakan yang hak dan menentang yang batil?

“Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin Umno? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?” katanya.

Beliau turut membangkit maksud ‘tidak membantu presiden’ yang dijadikan hujah MT Umno untuk menggantung jawatan parti yang disandangnya.

“Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu.

“Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti.

“Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam Umno bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada Umno,” tegasnya.

TAGS