Siti Nurhaliza turut diundang himpunan tertutup 27 Mac

Siti Nurhaliza turut diundang himpunan tertutup 27 Mac

Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Taharuddin turut dijemput dalam Himpunan Tertutup pada 27 Mac ini dan perkara ini disahkan penyelaras himpunan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Taharuddin turut dijemput dalam Himpunan Tertutup pada 27 Mac ini dan perkara ini disahkan penyelaras himpunan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

“Ya betul, kita ada hantar surat jemputan kepada Datuk Siti,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Bagaimanapun beliau menafikan khabar angin penyanyi kelahiran Kuala Lipis isteri kepada usahawan terkenal Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa itu akan diundang sebagai speaker bersama tokoh yang lain.

“Oh tidak… bukan speaker. Kita hanya jemput beliau. Kita jemput ramai tokoh bukan Datuk Siti sahaja. Sama ada beliau akan hadir atau tidak terpulang, tapi setakat ini belum ada sebarang jawapan lagi,” terang Zaid tanpa mahu mendedahkan tokoh-tokoh lain yang sudah dijemput dan menyatakan persetujuan mereka.

Malaysia Dateline menghubungi pegawai media Siti Nurhaliza merangkap pembantu peribadinya Rozie Abdul Razak untuk mendapatkan kepastian.

Rozie memberitahu jika ada surat jemputan untuk menyertai himpunan itu, kemungkinan penyanyi tersohor nombor satu negara itu sedang sibuk dengan jadual kerjayanya pada tarikh tersebut.

“Kalau ada jemputan saya rasa Datuk Siti tidak hadir kerana pada 27 Mac kami ada rakaman tv pop star dan latihan konsert bersama pemuzik. So far rasanya Datuk Siti tidak akan hadir,” ujarnya dalam jawapan melalui Whatsapps.

Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara tokoh yang telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan itu.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menyatakan persetujuan untuk hadir ke himpunan itu tetapi bukan mewakili parti.

Zaid berkata majlis itu adalah pertemuan tertutup dan hanya untuk “jemputan sahaja” dengan melibatkan kira-kira 1,000 tetamu.

Menurutnya, majlis itu diadakan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Beliau juga menjelaskan bahawa majlis itu bukan berbentuk bantahan awam atau seperti himpunan ‘Bersih’ sebaliknya hanya perjumpaan tertutup.

Antara yang dijemput ialah wakil-wakil parti politik, pemimpin pelajar dan ahli-ahli masyarakat sivil yang mahu siasatan bebas ke atas skandal 1MDB dan duit derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi perdana menteri dilakukan.

TAGS