SKMM sekat portal media bebas beri imej buruk kerajaan, bidas DAP

SKMM sekat portal media bebas beri imej buruk kerajaan, bidas DAP

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan kerajaan Umno- BN menyekat laman portal yang menyiarkan laporan kepincangan urus tadbir negara dan pelbagai skandal melibatkan pemimpin tertinggi parti itu bakal memberi imej buruk di mata dunia.

Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyekat laman portal, The Malaysian Insider(TMI), Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan itu hanya akan membuatkan dunia melihat Malaysia seolah-olah ditadbir oleh regim dan dipenuhi pemimpin korup.

Katanya, ia hanya menunjukkan negara kini seakan-akan menuju kepada pemerintahan diktator, dengan meruntuhkan darjat wartawan (fourth estate) yang menjadi tunjang kepada semak dan seimbang sesebuah pemerintahan.

Justeru, beliau menggesa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang sering dikaitkan dengan pelbagai skandal melibatkan antarabangsa mahupun tempatan, menghentikan sekatan terhadap semua laman portal.

“Ia malah mengelakkan negara daripada terus tidak diyakini pelabur asing mahupun tempatan yang akan menghancurkan ekonomi negara yang sedia rapuh,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh, berkata tindakan itu bertujuan menakut-nakutkan dan memberi tekanan ke atas media atas talian itu sebaliknya hanya akan meningkatkan kemarahan lebih banyak pihak.

“DAPSY kecewa dan kesal dengan tindakan menutup laman berita TMI dan ini jelas bertujuan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan bermaklumat.

“Ia hanya akan menyebabkan rakyat, khususnya pengguna internet marah, apapun kerajaan tetap tidak mampu untuk sekat maklumat daripada sampai kepada rakyat,” katanya kepada Roketkini.

Ini kerana, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning itu, berkata masih terdapat banyak medium atas talian lain yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat.

“Kerajaan tidak mampu sekat maklumat untuk sampai kepada rakyat kerana banyak medium lain seperti media sosial dan sebagainya.

“Kerajaan boleh sekat TMI atau media lain tetapi bagaimana mahu menyekat kesedaran rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap BN,” katanya.

Semalam, SKMM mengakui mengarahkan syarikat pembekal internet menyekat akses kepada TMI tas alasan portal berita itu menyiarkan kandungan yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233 berkaitan “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian” yang antara lain bersifat “mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain”

Terdahulu, laman web Sarawak Report yang kritikal terhadap kepimpinan Najib mengalami nasib yang sama sehingga disekat aksesnya di negara ini.
Malah, sebelum ini, laman web Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan(NGO), Bersih.org yang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil juga dihalang aksesnya oleh kerajaan UMNO BN.

TAGS