Kenyataan Mohd Faiz seolah-olah berbaur fitnah, kata SKMM

Kenyataan Mohd Faiz seolah-olah berbaur fitnah, kata SKMM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan tetap meneruskan siasatan terhadap Mohd Faiz yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menerusi Facebook walaupun anak muda itu telah memohon maaf di media sosial itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, siasatan terhadapnya perlu dilakukan kerana dipercayai kata-kata tersebut berbaur fitnah.

“Kalau kita lihat di dada akhbar beliau telah memohon maaf, tetapi seperti biasa proses siasatan tetap akan dijalankan kerana perkara itu dah dibuat aduan dan kita akan siasat.

“Kenyataan yang dibuat seolah-olah berbaur fitnah dan sebagainya…proses siasatan akan dilakukan walaupun beliau mengambil tindakan memohon maaf dan sekarang ini proses siasatan masih diteruskan,” ujarnya dipetik dari Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (Chapu, Felda Mengkawang, Menerong dan Padang Tera) di Kampung Chapu di Hulu Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu jika didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

“Kita nak beritahu kepada masyarakat bahawa mereka seharusnya bertanggungjawab atas apa sahaja kelakuan yang mereka buat.

“Saya pasti apabila mereka melakukan sesuatu, mereka mungkin mempunyai niat sesuatu terutamanya apabila mereka mengeluarkan kenyataan dan sebagainya,” kata Jailani lagi.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 untuk tempoh lima tahun bermula 13 Disember lalu.

Semalam, Mohd Faiz memohon maaf dengan menjelaskan status Facebooknya sebelum ini tidak berniat menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja sebaliknya hanya mahu melihat kuasa Majlis Raja-raja diperkukuhkan dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di negara ini.

Komentar Faiz yang kemudiannya tular di media sosial termasuk ‘serangan’ daripada penyokong tegar Pas menggunakan istilah tanggungjawab horizontal (tanggungjawab terhadap manusia) dan tanggungjawab vertikal (tanggungjawab terhadap Allah) yang digunapakai tokoh sarjana.

Faiz dalam kenyataan permohonan maafnya juga menjelaskan institusi raja bukan sahaja soleh spiritual bahkan sewajarnya bersifat soleh sosial iaitu mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial.

Kedua-dua istilah itu diperkenalkan seorang tokoh ulama dan pemikir dari Nahdatul Ulama Indonesia, KH. Mustofa Bisri atau lebih dikenali sebagai Gus Mus, 72, yang juga perancang logo Partai Kebangkitan Bangsa (PKB).

Komentar Mohd Faiz turut memetik konsep disebut tokoh ulamak Gus Mus

 

TAGS