Solidariti gesa Shazni dan Shukri dibebaskan

Solidariti gesa Shazni dan Shukri dibebaskan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kira-kira 50 orang berkumpul di hadapan Balai Polis Dang Wangi malam tadi sebagai solidariti kepada Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin dan bekas aktivis pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin yang ditahan bagi siasatan berhubung dakwaan hasutan.

Mereka menyalakan lilin dan mengangkat sepanduk menggesa Shazni dan Ahmad Shukri dibebaskan serta Akta Hasutan dihapuskan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil dalam ucapannya menggesa pihak polis tidak membuat tangkapan terpilih dan memberikan keadilan kepada rakyat.

“Rakyat bersatu hati tanpa mengira kaum bagi menyatakan kebenaran bahawa mereka menolak kezaliman.

”Shazni hanya menulis untuk membangkitkan semangat rakyat untuk turun ke himpunan GST.

“Kita memohon agar keadilan diberikan kepada rakyat. Kepada polis, tangkaplah pemimpin yang merompak wang rakyat, yang berlaku zalim kepada rakyat,” katanya penuh semangat.

Antara lain yang berucap ialah Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan; wakil Wanita Amanah, Anfaal Saari; pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen; aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Nashita Md Nor; Setiausaha Pemuda DAP, Bryan Lew dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen PKR Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip.

Sebahagian penyokong yang hadir malam tadi.Shazni ditangkap polis di perkarangan IPD Dang Wangi pada jam 2.30 petang semalam di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 1244 Kanun Keseksaan.

Terdahulu beliau dipanggil bagi memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada jam dua petang tadi rentetan arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di twitter Sabtu lalu.

Ia berkaitan satu artikel Shazni yang disiarkan sebuah portal atas talian yang didakwa bersifat menghasut.

Bagaimanapun menurut Shazni arahan tangkapan itu hanya berdasarkan kenyataan yang telah dimanipulasi daripada kenyataannya yang asal.

Manakala Ahmad Shukri direman sehingga esok di Johor berhubung dakwaan menghina sultan dua tahun lalu.

TAGS