Solidariti untuk Maria di majlis makan malam Wanita Amanah

Solidariti untuk Maria di majlis makan malam Wanita Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Siti Mariah Mahmud

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan parti agar tidak memperkecil kuasa dan suara wanita.

Bercakap di majlis Makan Malam Awan di perkarangan Wisma Amanah Negara malam tadi, Siti Mariah berkata, keberanian seorang wanita bernama Maria chin Abdullah menyebabkan beliau ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Peranan wanita sangat penting sekali. Ketua pembangkang seorang wanita. Yang kena tahan di bawah Sosma Maria Chin Abdullah seorang wanita,” katanya.

Majlis makan malam itu turut mengambil masa untuk bersolidariti untuk Maria.

Para hadirin berdiri sambil memegang plakad bertulis ‘We are all Maria Chin’, #BebasMaria dan #MansuhSosma.

Mereka turut melaungkan ‘bebas Maria’ dan ‘mansuh Sosma.

Video mengenai Maria dan penglibatannya dalam Bersih turut ditayangkan sebagai dedikasi untuk beliau yang disiasat di bawah Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang “memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Maria ditangkap pada malam sebelum perhimpunan Bersih selepas pejabatnya di Petaling Jaya diserbu polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut hadir dalam majlis malam tadi ialah Ketua Wanita DAP Chong Eng dan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP Teresa Kok.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Setiuasaha Agung Mohd Anuar Tahir dan beberapa pimpinan Amanah yang lain juga hadir memberikan sokongan.

Majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu Bahtera Merdeka oleh Wan Aisyah Wan Ariffin dan penyanyi Aris Ariwatan yang menyanyikan tiga buah lagu.

TAGS