Solidariti warga Sabah buat etnik Rohingya

Solidariti warga Sabah buat etnik Rohingya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) di seluruh negara mengecam serta membantah penyeksaan dan pembunuhan kejam yang berlaku di Arakan, Myanmar.

Pelbagai kenyataan dan himpunan untuk tujuan tersebut sedang giat dijalankan. Tidak ketinggalan, sayap Pemuda Amanah Sabah dan Wanita Amanah Sabah pagi kelmarin telah mengadakan aktiviti Solidariti Bantahan Penindasan Bangsa Rohingya.

Dengan menghamparkan kain rentang bertulis ‘Solidariti Bantah Penindasan Bangsa Rohingya di Myanmar’, solidariti tersebut mendapat perhatian serta sambutan baik oleh warga Tamu Gaya Street, Kota Kinabalu.

Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud yang mengetuai solidariti ini melahirkan rasa gembira di atas sambutan tersebut.

“Alhamdulillah, kita berasa terharu dan bersyukur atas sambutan baik daripada masyarakat setempat. Ini menunjukkan bahawa masih wujud insan-insan yang peduli dan berkeinginan untuk menghulurkan bantuan kepada insan-insan lain yang tertindas di luar sana. Kita harus melihat isu ini dari kaca mata kemanusiaan dan hak asasi yang merentasi sempadan politik, agama, bangsa dan negara.

“Sebanyak 500 lebih tandatangan orang ramai berjaya dikumpulkan sepanjang aktiviti ini dijalankan sekaligus menunjukkan rasa kesungguhan mereka menegakkan dasar kemanusiaan dan membantah tindakan kerajaan Myanmar yang membiarkan kezaliman ke atas bangsa Rohingya,” katanya.

Beliau berkata ternyata, rakyat Malaysia di seluruh negara sudah mengetahui secara jelas tentang isu ini, termasuklah rakyat di peringkat akar umbi.

Pemimpin-pemimpin parti politik di peringkat tertinggi pula begitu giat mengadakan bantahan kepada kerajaan Myanmar.

Pemuda Amanah di peringkat nasional bukan sahaja mengadakan himpunan aman, bahkan telah menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Myanmar baru-baru ini.

“Kami di peringkat pemuda dan seluruh parti Amanah menentang sekeras-kerasnya segala diskriminasi etnik dan agama walau di mana sahaja ia berlaku. Kami juga menentang semua pembunuhan kejam yang bersifat tidak berperikemanusiaan”, tegas Khairuddin.

Selain itu, Khairuddin juga menjelaskan bahawa Amanah telah memberi beberapa peringatan dan desakan kepada pihak kerajaan berhubung isu ini. Amanah mendesak pihak kerajaan agar menggunakan kuasa Asean, melaksanakan tekanan ekonomi dan ketenteraan bagi memberi amaran yang jelas kepada kerajaan Myanmar. Amanah juga menuntut agar kerajaan menggunakan PBB dan OIC untuk memudahkan mangsa-mangsa mendapatkan bantuan asasi yang diperlukan.

“Amanah tidak sekadar bekerjasama dengan parti-parti politik, tetapi juga dengan NGO dan NGI tempatan serta masyarakat seluruhnya. Kita berharap semua pihak dapat bersatu dalam usaha menyelamatkan saudara kita di Rohingya. Teruskan berusaha dengan apa sahaja cara yang mampu kita lakukan. Berterusanlah menyebarkan berita tragedi ini di media sosial dan medan lapangan.

“Kutiplah derma atau sumbangan barang asasi melalui agensi yang berautoriti dan amanah dalam menyampaikan. Akhir sekali, jangan putuskan doa kita kepada mereka. Semoga tuhan membela nasib mereka secepat yang mungkin, insyaallah amin,” terang beliau sambil mengakhiri perbualan.

Menyebut soal penyelesaian kepada tragedi seumpama ini, Azlin, AJK Wanita Amanah Sabah, mengatakan perlunya kesatuan yang kukuh daripada barisan pimpinan negara yang lain, terutamanya negara-negara serantau Asia. Dengan adanya kesatuan suara daripada pemimpin-pemimpin negara sedikit sebanyak memberi kuasa dalam menentukan nasib malang atau untung rakyat di negara-negara jiran mereka.

“Sesebuah kerajaan yang zalim perlu dihukum oleh masyarakat dan pemimpin dunia sehingga mereka akur kepada undang-undang antarabangsa dan berhenti dari melakukan kezaliman itu.

“Kita perlu menuntut agar warga Rohingya diberikan hak kewarganegaraan yang adil dan saksama dengan warganegara yang lainnya”, ulas beliau lebih lanjut.

Sayap pemuda dan wanita Amanah Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas solidariti dan sokongan warga Sabah kepada bangsa Rohingya. Hasil kutipan sebanyak RM 2,372.00 berjaya dikumpulkan dalam solidariti tersebut dan akan disalurkan kepada NGO Amal Relief Malaysia dan Humanitarian Care Malaysia.

Kutipan bantuan kemanusiaan etnik Rohingya akan disalurkan kepada NGO Amal Relief Malaysia dan Humanitarian Care Malaysia.

TAGS