Setakat lulus permit, umum tambang tidak bantu kurangkan kos hidup

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM), mendakwa rakyat kini dipaksa untuk menanggung beban kenaikan kos pengangkutan awam selepas harga minyak meningkat akibat pemansuhan subsidi selain peningkatan kadar tol dan parkir membebankan warga kota ekoran pelbagai kenaikan kos dengan secara purata keseluruhannya mencecah 60 peratus.

Naib Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, SPAD dilihat gagal berperanan untuk membantu rakyat sebaliknya suruhanjaya itu wujud sekadar untuk meluluskan permit dan mengumumkan kenaikan tambang sahaja.

“SPAD juga dilihat jauh tersasar dari visi dan misinya untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat bagi menjadi mod pilihan rakyat yang mampu dibayar.

“DPPM percaya kakitangan SPAD dan keseluruhan kakitangan kerajaan juga terasa beban ini. Tetapi dasar yang dirangka dan dilaksana bukan sahaja membebankan mereka tetapi rakyat keseluruhannya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, sayap PAS itu mendesak Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar supaya meletakkan jawatan selepas agensi itu gagal memainkan peranan dalam membendung kenaikan tambang pengangkutan awam sepanjang tahun ini sehingga awal 2016.

“DPPM mengesa agar SPAD kembali memainkan peranan secara serius bagi membendung kenaikan ini dan berharap Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan bekerjasama bagi menilai kos pengangkutan awam supaya dapat mengimbangi kos hidup rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Mengulas lanjut beban ditanggung oleh pengusaha pengangkutan awam ekoran daripada kenaikan kos pengendalian dan penyelenggaraan, Ir Khairil berkata pihak terbabit perlu melihat kesan kenaikan tersebut kepada ekonomi rakyat yang menjadi pelanggan mereka.

“Satu mekanisme perlu dikenalpasti oleh pihak kerajaan bagi membantu industri pengangkutan awam di negara ini supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dengan harga berpatutan tanpa merugikan rakyat atau pihak pengusaha industri,” ujarnya.

Berikut kenaikan beberapa jenis pengangkutan awam yang disenaraikan oleh DPPM:

1. Kenaikan tambang ERL dari RM35 kepada RM55 (kenaikan sebanyak RM20 iaitu 57%) berkuatkuasa 1 Januari 2016.

2. Pada pertengahan Mac 2015, SPAD telah mengumumkan kenaikan 49% tambang teksi bagi Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, iaitu diantara 25 sen sehingga 75 sen per kilometer.

3. SPAD membenarkan kenaikan tambang bas ekspress sebanyak RM4.60 sehingga RM11.00 mulai 1 Mei 2015.

4. Berkuatkuasa pada hari ini (2 Disember), tambang Komuter KTMB naik sebanyak 4 sen dari 11 sen bagi setiap kilometer, kepada 15 sen bagi setiap kilometer.

5. Tambang bagi LRT turut naik sebanyak 102% dengan kadar bayaran 70 sen dan 30 sen bagi 4 km pertama manakala tambang Monorel pula naik sebanyak 40% bermula pada kadar 70 sen dan RM0.58 bagi 4 km pertama dan RM0.37 bagi 5 km seterusnya.

TAGS