SPAD tabur pasir ke periuk pemandu teksi, dakwa persatuan

 Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didakwa 'menaburkan pasir ke dalam periuk' pemandu teksi dengan tidak menyekat apa yang mereka namakan sebagai teksi sapu melalui khidmat Uber dan GrabCar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didakwa ‘menaburkan pasir ke dalam periuk’ pemandu teksi dengan tidak menyekat apa yang mereka namakan sebagai teksi sapu melalui khidmat Uber dan GrabCar.

Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) mendakwa SPAD seolah-olah mengambil tugas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) apabila mendakwa aplikasi Uber dan GrabCar yang digunakan ‘kereta sapu’ kononnya tidak salah.

Timbalan Pengerusi PERS1M, Kamarudin Mohd Hussain berkata demikian ekoran kegagalan SPAD yang diterajui oleh Tan Sri Syed Hamid Albar itu untuk mengharamkan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar yang didakwanya mengancam pendapatan pemandu teksi.

“SPAD tidak melaksanakan tugas mereka bahkan sedang menabur pasir ke periuk nasi pemandu teksi dan yang paling nyata Syed Hamid Albar jelas sedang mensabotaj kepimpinan Perdana Menteri,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menghormati pendirian SKMM untuk tidak menyekat mana-mana laman web atau aplikasi yang belum disahkah telah melanggar undang-undang.

Mengulas kenyataan SKMM bahawa SPAD setakat ini belum berbincang dengan pihaknya berhubung isu berkenaan, beliau berkata, SPAD harus segera tampil memaklumkan kepada SKMM untuk menyekat aplikasi digunakan ‘kereta sapu’ itu.

Beliau juga menggesa supaya Putrajaya melakukan rombakan terhadap SPAD kerana dilihat telah mengingkari arahan kerajaan supaya menjamin kebajikan dan ekonomi pemandu teksi.

“Uber dan GrabCar adalah kereta sapu yang terbukti melanggar undang-undang tetapi SKMM tidak mampu mensabitkan kesalahan tersebut kerana itu di bawah tanggungjawab SPAD. Soalnya, kenapa SPAD tak buat kerja yang sepatutnya dibuat?” bidas Kamarudin lagi.

Dalam hal berkaitan, SPAD melalui laman webya, spad.gov.my sebelum ini bertindak melakukan Kaji Selidik Maklumbalas: Perkhidmatan Teksi di Malaysia yang dilihat ramai pemandu teksi sebagai ‘membunuh’ industri teksi negara ini.

Sebanyak 76.4 peratus atau 9,791 daripada jumlah keseluruhan 9,026 responden berpendapat lebih selesa menggunakan Uber dan GrabCar sebagai pengangkutan awam menggantikan teksi awam.

Bahkan, 86.6 peratus atau 7,728 pengguna teksi mendakwa teksi awam mengenakan caj tambang berlebihan atau tidak menggunakan meter.

TAGS