`Spiderman’ bayar zakat minat adiwara hiburkan kanak-kanak

`Spiderman’ bayar zakat minat adiwara hiburkan kanak-kanak

“Saya bukannya memakai baju adiwira Spiderman itu dengan sengaja ketika membayar zakat, cuma kebetulan saya ada persembahan untuk satu acara kanak-kanak di pusat beli-belah berkenaan.

“Amil di kaunter bayaran zakat itu juga menjelaskan pada saya, tidak bermasalah membayar zakat dengan berpakaian seperti itu,” kata Harris Fazri Hashim, 40 setelah gambarnya menjadi tular di media sosial.

Rakaman gambar Harris yang juga kakitangan kerajaan ketika membayar zakat dengan berpakaian Spiderman itu tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Harris  dipetik berkata kepada myMetro, gambar itu diambil rakannya selepas mereka menghiburkan sekumpulan kanak-kanak yang menyertai satu pertandingan pakaian di pusat beli-belah di Kompleks Islam Sarawak, di sini, Sabtu lalu.

“Saya ada diingatkan isteri supaya membayar zakat fitrah kerana sudah hampir dua minggu Ramadan.

“Ketika selesai acara yang saya dan rakan sertai, saya terus pergi membayar zakat, tidak sangka pula rakaman gambar yang diambil rakan ketika itu tular di media sosial.

“Amil itu juga sangat mesra dan tidak menunjukkan sebarang kejanggalan. Sesi saya membayar zakat itu berjalan lancar,” katanya.

Mengenai minatnya berpakaian adiwira, Harris berkata, ia memang hobinya kerana walaupun sudah berusia, dia sebenarnya suka menghiburkan kanak-kanak.

“Kadang-kadang saya dan rakan dijemput untuk muncul di hospital bagi menggembirakan kanak-kanak termasuk mereka yang mengalami penyakit kritikal.

“Ia memberikan kepuasan kepada saya selain mampu memberi keceriaan kepada kanak-kanak lebih-lebih lagi yang menghadapi masa yang sukar,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun.

TAGS