SPR didakwa berkonspirasi jatuhkan Selangor, had 100,000 pengundi dipersoal

SPR didakwa berkonspirasi jatuhkan Selangor, had 100,000 pengundi dipersoal

Cadangan persempadanan semula di Selangor menyaksikan pengundi pro-pembangkang ‘dihimpun’ ke dalam satu kawasan parlimen yang sama, manakala pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan kecil.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tony Pua Cadangan persempadanan semula di Selangor menyaksikan pengundi pro-pembangkang ‘dihimpun’ ke dalam satu kawasan parlimen yang sama, manakala pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan kecil.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dipetik berkata cadangan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum yang bakal tiba.

Jelasnya, ia merupakan satu-satunya muslihat yang boleh dimainkan BN berikutan populariti parti itu yang semakin menurun di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ekoran skandal kewangan 1MDB yang masih tidak selesai, serta pelaksanaan cukai GST.

“Jadi, BN terpaksa melukis semula sempadan kawasan pilihan raya sehingga membolehkan parti itu dijamin kemenangan besar walaupun undi popular mereka terus merosot.

“Cara termudah adalah menghimpunkan pengundi pro-pembangkang ke satu kawasan pilihan raya yang besar, iaitu dengan lebih 100 ribu pengundi. Pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan lebih kecil,” katanya dalam satu kenyataan dilaporkan.

Sebelum ini, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendedahkan bahawa kawasannya yang akan dinamakan semula sebagai ‘Damansara’ menjadi kawasan tunggal terbesar dengan 150,439 pengundi setelah mengalami peningkatan sebanyak 76.2 peratus.

Sebaliknya, kawasan parlimen Subang yang kini ditukar kepada ‘Sungai Buloh’ mengalami pengurangan pengundi berikutan kawasan Dun Bukit Lanjan dialih ke parlimen Damansara.

Bukit Lanjan telah menyumbang majoriti 17,200 undi kepada parlimen Subang sehingga memberi kemenangan majoriti kepada R. Sivarasa dari PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menurut Tony, analisa oleh DAP baru-baru ini mendapati Damansara mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti 73,533 undi namun Sungai Buloh akan menjadi kerusi marjinal.

Beliau menjelaskan, berdasarkan corak mengundi pada tahun 2013, sekurang-kurangnya tujuh kerusi Dun akan dirampas kembali oleh BN iaitu Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang dan Morib.

“Pada masa sama, majoriti untuk sekurang-kurangnya 10 kerusi akan jauh berkurang bagi meletakkan mereka dalam jangkauan calon-calon BN.

“Dengan persempadanan tidak sekata serta tidak adil ini, ditambah pula dengan kempen agresif mereka menggunakan retorik kaum dan agama, berkemungkinan besar Selangor akan jatuh kembali ke tangan BN,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tony berkata, Jawatankuasa DAP Selangor akan mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan hasil kajian serta langkah-langkah yang wajib diambil bagi memastikan rakyat Selangor tidak ‘dirompak’ mandatnya dalam pilihan raya akan datang.

Lim Kit Siang Sementara itu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sekali lagi mempersoalkan sama ada usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi pertikaian pelbagai pihak baru-baru ini semata-mata dirangka demi kelangsungan politik Umno.

Ini kerana, menurut beliau, usul yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu pada Khamis lepas langsung tidak mencerminkan semangat demokrasi “satu orang, satu undi”, malah didakwa melanggar peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, peruntukan berkenaan menyatakan bahawa setiap kawasan pilihan raya di dalam sesuatu negeri hendaklah mempunyai bilangan pengundi lebih kurang sama banyak kecuali kawasan luar bandar yang mempunyai kesulitan tertentu.

“Jadual Ketiga Belas memperuntukkan kewajaran (perbezaan jurang pengundi) antara kawasan-kawasan luar bandar, tetapi jurang perbezaan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar perlu sentiasa merapat dan tidak melebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan memberi contoh dua kawasan Subang Jaya (bandar) dan Sungai Air Tawar (luar bandar) di Selangor, katanya, jurang perbezaan pengundi di antara kedua-dua kawasan tersebut kini telah melebar berbanding Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Melalui cadangan persempadanan itu, menurutnya, Sungai Air Tawar mengalami penurunan jumlah pengundi iaitu 15,033 berbanding 15,187 pada PRU-13 lepas, manakala Subang Jaya mencatatkan peningkatan jumlah pengundi daripada 61,688 kepada 66,059.

“Mengapa SPR meluaskan dan bukannya merapatkan jurang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, jika tidak ada agenda tersembunyi dalam penyusunan semula persempadanan itu untuk memberi manfaat kepada UMNO?” soalnya.

Sejak usul itu diutarakan SPR minggu lalu, ia telah mendapat tentangan keras Pakatan Harapan ekoran didakwa bakal memberi kelebihan besar kepada UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Parti komponen Barisan Nasional, MCA seperti yang dilaporkan media pula mendakwa hampir 80 peratus kawasannya bakal terjejas ekoran daripada usul persempadanan semula itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, usul tersebut turut membelakangi prisip yang pernah dibentangkan mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada tiga tahun lalu, untuk memastikan kawasan pilihan raya akan dihadkan kepada 100,000 jumlah pengundi.

“Mengapa Datuk Mohd Hashim Abdullah (Pengerusi SPR) meninggalkan prinsip Perlembagaan dan demokrasi yang penting dalam usul itu? Adakah ini atas perintah orang yang berkuasa dalam Umno?” soalnya.

Kawasan-kawasan yang mempunyai lebih 100,000 pengundi ialah Damansara (Petaling Jaya Utara), Bangi, Klang, Petaling Jaya (Petaling Jaya Selatan), Subang (Kelana Jaya), Gelang Patah, Kota Raja, Pasir Gudang, Kota Melaka, Kuala Terengganu, Sungai Petani, Tumpat dan Kapar.

Pada Disember 2013, Abdul Aziz seperti yang dilaporkan akhbar lidah rasmi Umno, Utusan berkata, SPR akan berusaha untuk memecahkan kawasan-kawasan pilihan raya bagi memastikan ia hanya mengandungi tidak lebih 100,000 pengundi.

TAGS