SPR didakwa terlibat konspirasi menangkan BN

SPR didakwa terlibat konspirasi menangkan BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan Johor bukan sahaja membantah persempadanan baru kawasan pilihan raya malah mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkonspirasi untuk memastikan kemenangan BN di kawasan campuran.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pakatan Harapan negeri hari ini, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan dan Setiausaha PKR negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar sepakat meyakini bahawa persempadanan bahagian pilihan raya negeri yang dicadangkan SPR hanya untuk mengekalkan kuasa BN.

“Adalah jelas sekali bahawa SPR beroperasi dengan mengikut unjuran bahawa majoriti pengundi Melayu akan terus menyokong BN, maka dengan persempadanan kali ini mereka mengharap parti-parti Pakatan Harapan akan tumbang di semua kawasan berbilang kaum dan akan hanya kekal di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu.

“Kami ingin mengingatkan SPR dan BN bahawa Bangsa Johor dan rakyat Malaysia sudah cerdik dan memiliki kesedaran politik yang tinggi.

“Mereka memahami konspirasi SPR dan Barisan Nasional dan akhirnya akan bangkit menumbangkan BN di peti-peti undi dalam gelombang politik yang akan datang,” kenyataan media itu dipetik.

Pakatan Harapan negeri turut mengingatkan peranan sebenar SPR iaitu untuk memastikan badan itu berintegriti, adil dan telus dalam mengurus sistem pilihan raya negara.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Johor, Kawasan Parlimen Gelang Patah adalah kawasan yang paling ramai pengundi dengan 112,081 pemilih manakala kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Skudai mencatat pengundi paling ramai iaitu 69,132.

Dun Bukit Kepong (nama lama Bukit Serampang) adalah Dun dengan pengundi yang paling rendah (15,795 pemilih) dan kawasan Parlimen Pagoh hanya mempunyai 36,387 pengundi, berkurangan dari 46,793 pada 2013 iaitu sebanyak 22.24%.

Pakatan Harapan juga menganggap persempadanan semula kawasan Parlimen Pagoh bermotifkan politik kerana ia dianggarkan mempunyai sekitar 20,000 ahli Umno.

“Dengan mengurangkan pengundi di kawasan ini, Umno harap karier politik Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berakhir di Parlimen ini,” ujar kenyataan media itu.

Pakatan Harapan negeri juga mendapati sebanyak 14 kerusi Dun mempunyai pengundi yang lebih ramai dari kawasan Parlimen Pagoh iaitu N. 48 Skudai dengan 69,132 pemilih, N. 42 Johor Jaya (59,041), N. 46 Perling (55,810), N. 44 Larkin (53,325), N. 40 Tiram (50,639), N. 43 Permas (49,115), N. 41 Puteri Wangsa (48,953), N. 23 Penggaram (45,749), N. 45 Stulang (45,026), N. 28 Mengkibol (44,506), N. 52 Senai (44,023), N. 29 Mahkota (43,706), N. 49 Iskandar Puteri    (42,949) dan N. 47 Kempas (40,170).

Jumlah pengundi di kawasan Dun Skudai (69,132 pengundi) juga melebihi 16 kerusi Parlimen di Johor seperti P. 147 Parit Sulong dengan 56,851 pemilih, P. 164 Pontian    (52,660), P. 165 Tanjung Piai (50,215), P. 140 Segamat (48,681), P. 146 Muar (46,083), P. 149 Sri Gading (45,451), P. 154 Mersing (44,985), P.148 Ayer Hitam (42,962), P. 156 Kota Tinggi (42,861), P. 141 Sekijang (41,896), P. 153 Sembrong (41,629), P. 151 Simpang Renggam (41,052), P. 155 Tenggara (40,670), P. 157 Pengerang (38,338), P. 142 Labis (37,568) dan P. 143 Pagoh (36,387).

Sehubungan itu, Pakatan Harapan negeri mengharapkan para pengundi membuat bantahan dalam tempoh sebulan dari tarikh notis persempadanan baru bertarikh 15 September 2016.

“Pakatan Harapan Johor meminta penglibatan rakyat secara besar-besaran dalam proses ini untuk memastikan integriti sistem pilihan raya dan hak rakyat untuk menentu masa depan negara terjamin.

“Pakatan Harapan Johor juga memberi sokongan sepenuhnya kepada gerakan Bersih yang telah menetapkan tarikh 19hb November 2016 sebagai hari untuk Himpunan Bersih 5.0,” kenyataan media itu dipetik.

TAGS