SPR tidak hormati keputusan mahkamah tinggi, kata Nurul Izzah

Persempadanan Semula Bahagian Pilihan raya  Negeri Sarawak menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan  Notis Persempadanan Semula yang dikeluarkan oleh badan itu adalah batal kerana ia tidak mengikut Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Persempadanan Semula Bahagian Pilihan raya  Negeri Sarawak menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan  Notis Persempadanan Semula yang dikeluarkan oleh badan itu adalah batal kerana ia tidak mengikut Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, SPR juga tidak menghormati proses semakan kehakiman yang sedang dijalankan untuk menentukan sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan kes yang difailkan oleh Adun Batu Lintang,See Chee How dan pengundi Ulu Baram, Pauls Baya adalah menepati kehendak undang-undang atau tidak.

“Amat mendukacitakan apabila BN tidak mendengar suara rakyat yang inginkan sebuah demokrasi yang lebih sihat dan memberi peluang kepada rakyat untuk benar-benar memilih kerajaan yang mereka mahukan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, persempadanan semula ini digunakan oleh SPR untuk memberikan talian hayat kepada BN.

“Setiap kali diadakan persempadanan semula hanya akan memberikan kelebihan kepada BN. Kerajaan menggunakan alasan penambahan kerusi untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat tidak munasabah,” katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan usul mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak di Dewan Rakyat, yang menyaksikan cadangan tambahan 11 bahagian bagi negeri.

Nurul Izzah menambah, SPR perlu melalui proses konsultasi dari pihak-pihak yang berkepentingan termasuk NGO serta rakyat Malaysia yang berminat sebelum membuat keputusan mengenai persempadanan semula yang bakal dilakukan.

“Proses konsultasi ini boleh menjadi langkah pertama bagi memulihkan kembali imej SPR yang tercalar selama ini,” katanya.

TAGS