SPR WP enggan temui wakil pembangkang bincang persempadanan semula

SPR WP enggan temui wakil pembangkang bincang persempadanan semula

Pakatan Harapan kecewa terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan yang enggan bertemu mereka bagi berbincang mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan kecewa terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan yang enggan bertemu mereka bagi berbincang mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengarah pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Hatta Ramli berkata, tindakan SPR sangat tidak adil kerana Pakatan Harapan yang menggabungkan Amanah, PKR dan DAP merupakan pelanggan mereka.

“SPR pelanggannya ialah orang ramai dan parti politik. Dia tak boleh halang kita nak jumpa apatah lagi melibatkan urusan pilihan raya yang melibatkan seluruh rakyat.

“Arahan yang dimaklumkan pihak keselamatan SPR tak mahu berjumpa sesiapa atas urusan persempadanan semula untuk tempoh sebulan. Ini tidak adil kerana untuk membantah kita memerlukan maklumat dan data-data.

“Kalau mereka tidak mahu bercakap dengan kita ini tidak adil. SPR Selangor boleh turun bertemu rakyat beri penerangan kenapa SPR Wilayah Persekutuan tak mahu jumpa pelanggan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan TH Selborn hari ini.

Mereka bercadang bertemu dengan pihak SPR di pejabat mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai persempadanan semula pilihan raya khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, naib presiden PKR yang juga pengarah pilihan raya parti itu, Nurul Izzah Anwar mendakwa SPR membantu Barisan Nasional untuk menang dalam pilihan raya umum nanti dengan melakukan persempadanan semula.

“Saya merasakan tindakan SPR ini merupakan penghinaan dan tamparan kepada sistem demokrasi dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Justeru beliau mendesak suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi mengkaji syor persempadanan semula yang didakwa menjejaskan kawasan-kawasan pembangkang dan mewujudkan pemisahan kaum.

“Kita akan desak supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan oleh yang Dipertuan Agong dalam menangani ancaman terbesar dalam sistem demokrasi kita.

“Membenarkan persempadanan semula tanpa bantahan merupakan satu kerosakan besar apabila kita membiarkan pemerintahan BN tanpa suara pembangkang,”katanya.

Beliau juga menyeru rakyat bertindak dengan melakukan bantahan di setiap kawasan dan menyertai mereka dalam menyerahkan petisyen bantahan kepada Agong.

SPR mengemukakan cadangan penentuan sempadan pilihan raya baharu untuk kerusi Parlimen dan DUN untuk Tanah Melayu dan Sabah 15 September lepas.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata penentuan semula sempadan pilihan raya itu dibuat mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Undang-Undang Tubuh Negeri Sabah, yang diwartakan pada 18 Ogos.

Menurut Abdul Ghani, notis persempadanan bersama butiran penuh cadangan itu disiarkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah selama sebulan, mulai 15 September dan 14 Oktober.

Rombongan Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan sempat mengadakan protes di lobi bangunan TH Selborne yang menempatkan pejabat SPR Wilayah Persekutuan.

TAGS