SPRM akan panggil Guan Eng berhubung isu banglo

SPRM akan panggil Guan Eng berhubung isu banglo

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan pihaknya akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung siasatan pembelian banglonya di Georgetown berharga RM2.8 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata hari ini perancangan sudah dibuat untuk memanggil Guan Eng bagi membantu dan melengkapkan siasatan.

“Bahagian Operasi akan menentukan masa sesuai (memanggil Guan Eng),” katanya ringkas.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program merakyatkan SPRM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini.

Hadir sama di majlis itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Fadzilla Salleh.

Mustafar menjawab pertanyaan bila Guan Eng akan dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan banglo tersebut dikatakan dibeli di bawah nilai pasaran.

Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan SPRM memulakan siasatan sebaik sahaja menerima laporan mengenainya.

Nilai pasaran banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown itu dianggarkan dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Bagaimanapun selepas hampir sebulan siasatan, beliau masih tidak dipanggil untuk memberi keterangan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.

TAGS

COMMENTS