SPRM didakwa berat sebelah kendali  kes 1MDB, FGV

SPRM didakwa berat sebelah kendali kes 1MDB, FGV

 Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil 50 saksi berkaitan kes membabitkan kerugian Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) dianggap berat sebelah kerana gagal berbuat perkara sama terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, SPRM perlu profesional, tegas dan telus dalam usaha memerangi rasuah yang berleluasa di negara ini.

“Saya nak tanya SPRM bila pula nak siasat skandal 1MDB berskala besar serta serius macam siasatan FGV yang mana SPRM akan memanggil 50 orang saksi?

“Kes skandal 1MDB lagi besar daripada salahlaku FGV.

“Kenapa dalam salahlaku FGV nampak SPRM boleh bertindak secara habis-habisan tetapi dalam kes skandal yang lebih besar babit 1MDB nampak agak sepi?!

“Macamana dengan semua laporan-laporan yang saya buat pada SPRM sejak Disember 2014?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin Abu Hassan Beliau mengulas mengenai kenyataan dibuat oleh imbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Azam Baki pada Isnin, dipetik berkata lebih daripada 50 orang dijangka akan dipanggil sebagai saksi untuk membantu dalam siasatan isu FGV akan dipanggil untuk merekodkan kenyataan mereka.

Justeru Khairuddin menegaskan nama-nama yang dikaitkan ada hubungan dalam kes 1MDB sewajarnya turut dipanggil untuk siasat dalam kes tersebut.

“Adakah Najib, Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz dan semua ahli lembaga pengarah 1MDB sudah dipanggil untuk siasatan dalam kes skandal 1mdb?

“Pada hemat peribadi saya SPRM boleh bertindak agresif ke atas mana-mana kes dan tidak akan meninggalkan impak keyakinan pada keseluruhan rakyat Malaysia selagi kes skandal 1MDB tidak ditangani secara adil.

“Ini adalah kerana keseluruhan rakyat di negara kita ingin melihat apa penyudahnya,” ujarnya.

Khairuddin berpandangan selagi SPRM tidak mengambil pendekatan serius untuk menyiasat dan mendakwa semua yang terlibat dalam kes skandal 1MDB selagi itulah kredibiliti SPRM sukar dipulihkan.

“Sebanyak lima negara di luar yang saya buat laporan kepada pihak penguatkuasanya telah pun menangkap, mendakwa di mahkamah serta yang bersubahat telah dipenjarakan.

“Tetapi di malaysia peguam negara yang bernama Apandi Ali kata tiada kes!!

“Khalid Abu Bakar selaku ketua polis negara kata PDRM baru selesai siasatan kes skandal 1MDB dan kertas siasatan dah diserahkan pada pejabat peguam negara.

“Saya yakin kesemua masyarakat negara ini dan warga luar ingin melihat iltizam atau kesungguhan SPRM untuk menyelesaikan siasatan seterusnya bertindak ke atas semua pengkhianat negara yang terlibat dalam kes 1MDB,” ujarnya.

 

TAGS