SPRM digesa ambil tindakan peniaga manipulasi BB1M dikalangan mahasiswa

SPRM digesa ambil tindakan peniaga manipulasi BB1M dikalangan mahasiswa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendakwa Bantuan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) awam dan swasta bagi tujuan membeli buku dan alat bantuan pembelajaran telah disalahguna dikalangan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara ini.

Justeru GPMS menggesa kerajaan agar dapat membuat pemantauan dengan segera dan GPMS juga menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berwajib yang lain untuk membuat tindakan dengan segera iaitu melakukan serbuan ke atas peniaga yang didapati memanipulasi BB1M dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa berkata, gabungan itu menerima aduan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa pelahar IPT awam dan swasta berkenaan.

“Antara aduan yang diterima GPMS terdapat segelintir peniaga menawarkan pembelian barang-barang selain daripada buku dan alat bantuan pembelajaran yang dibenarkan menggunakan BB1M.

“Lebih teruk, ada pihak yang menawarkan wang tunai sebagai ganti kepada baucer tersebut pada nilai yang lebih rendah.

“Pihak-pihak berkenaan didapati sangat licik dalam memanipulasi kelemahan sistem BB1M. Saban tahun perkara ini masih berlaku dan ianya makin serius sejak kebelakangan ini.” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru GPMS memandang serius perkara ini dan beranggapan perbuatan ini sebagai satu tindakan jenayah yang serius memandangkan dana yang digunakan bagi tujuan pemberian BB1M adalah dana awam.

“BB1M sepatutnya tidak disalahgunakan oleh penerimanya yang merupakan pelajar IPT agar ia tidak lari daripada tujuan asalnya iaitu membantu pelajar dan meringankan pelajar untuk membeli buku dan alat bantuan pembelajaran.

“Kami juga menyeru kepada penerima BB1M iaitu pelajar IPT agar lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan BB1M daripada tujuan asalnya termasuk tidak sama sekali menjual BB1M untuk mendapatkan tunai, memandangkan kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar wang pembayar cukai untuk menanggung pemberian BB1M dalam Bajet tahunan.” katanya.

TAGS