SPRM perlu siasat apakah perlombongan bauksit kebal undang-undang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut menyiasat aktiviti perlombongan bauksit di Terengganu dan Pahang apakah wujudnya unsur kebal undang-undang dalam aktiviti yang banyak melanggar undang-undang itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah SallehSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut menyiasat aktiviti perlombongan bauksit di Terengganu dan Pahang apakah wujudnya unsur kebal undang-undang dalam aktiviti yang banyak melanggar undang-undang itu.

“Patut sangat SPRM selidik asal jangan ada yang kebal undang-undang,” kata ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kepada Malaysia Dateline mengulas aktiviti yang memakan pelbagai jenis korban termasuk kemalangan akibat keghairahan mengejar hasil bauksit itu.

Fuziah menyambut baik desakan kerajaan negeri Terengganu meminta SPRM menyiasat ketelusan pegawai penguatkuasa dan pengusaha bauksit berikutan masalah operasi bauksit yang masih gagal ditangani di negeri itu.

Fuziah yang juga Pengerusi Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit, berkata, isu bauksit sudah memperlihatkan kemusnahan berlaku secara pantas membabitkan alam sekitar dan kesihatan sewajarnya ia harus disekat dan ditangani secara tuntas oleh kerajaan negeri terbabit.

“Apabila kita menjadi kerajaan memang banyak yang boleh dilakukan terutamanya apabila kita ada ‘political will’ atau ada kehendak politik untuk melaksanakan sesuatu dan membuat keputusan yang tepat dan betul.

“Itu belum lagi kita kaji impak terhadap alam sekitar dan kesihatan dari segi jangka masa panjang. Maka segala tindakan yang diumumkan oleh MB Terengganu itu memang wajar dilakukan.

“Di Kuantan, Pahang situasinya lebih teruk berpuluh kali ganda terjejas berbanding di Neram Kuala Terengganu,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razi Abdul Rahman semalam, yang dipetik sebagai berkata kehairanan beliau apabila penguatkuasaan dilakukan 24 jam tetapi masalah tidak dapat diselesaikan dan terdapat tempat simpanan sementara yaang dikesan di atas tanah milik kerajaan.

Justeru Ahmad Razif mempersoalkan ketelusan pegawai yang dipertanggunjawabkan menjalankan tugas dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan penguatkuasa negeri itu yang tidak ada integriti menjadi tali barut pengusaha bauksit.

Sambung Fuziah lagi keadaan yang berlaku di Terengganu juga berlaku di Pahang bahkan lebih teruk lagi.

Terangnya, terdapat situasi di mana apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melakukan operasi keadaan seperti dalam kawalan.

“Ada juga keadaan di mana apabila JPJ dan SPAD buat operasi jalan lengang, tiada lori yang tidak ikut peraturan. Sebaik sahaja habis operasi jalan penuh semula.

“SPRM kena siasat kerana ada aduan daripada tuan tanah yang mengatakan mereka tidak pernah memohon untuk memindahkan tanah dari kawasan milik mereka akan tetapi tiba-tiba dapat surat kelulusan,” ujarnya menceritakan situasi sama yang turut berlaku di Kuantan.

Memperkatakan soal integriti Fuziah turut tidak menafikan ia berlaku di negeri Pahang, apabila dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 yang langsung tidak menyebut berkenaan perlombongan bauksit haram dan pencemaran alam sekitar di Kuantan.

“Sedangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Terengganu 2014 melaporkan dengan panjang lebar berkenaan aktiviti perlombongan bauksit secara haram di negeri Terengganu.

“Dalam hal ini saya sekali lagi minta SPRM mempercepatkan laporan siasatan di negeri Pahang. Saya tidak fikir ketua audit negara terlepas pandang isu perlombongan bauksit haram dan pencemaran alam sekitar kesan aktiviti bauksit di Kuantan.

“Adakah tangan-tangan yang menghalang laporan audit ketua negara itu ke atas akvitiviti bauksit di Kuantan dibentangkan,” soalnya.

Minggu lalu, SPRM dalam kenyataannya berkata, kertas pemeriksaan berkenaan pelaksanaan aktiviti perlombongan bauksit di Pahang dijangka siap akhir bulan ini sebelum diserahkan kepada kepada kerajaan negeri awal tahun depan.

TAGS