SPRM sahkan keluarga diraja Arab Saudi beri RM2.6bilion, kata Azalina

SPRM sahkan keluarga diraja Arab Saudi beri RM2.6bilion, kata Azalina

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa sumbangan RM2.6 bilion diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi, dakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah keraguan berikutan pendedahan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa seorang putera raja Arab Saudi memberi sumbangan wang itu kepada Najib.

“Berhubung siasatan kes RM2.6 bilion, keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan, SPRM mengesahkan sumbangan tersebut diberi kepada perdana menteri secara peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, peguam negara berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh perdana menteri berkaitan kes-kes tersebut,” kata Azalina dalam satu jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Azalina menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang bertanya mengenai siasatan dan hasilnya berkaitan sumbangan RM2.6 bilion itu dan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun Najib.

Berkaitan kes SRC International pula, Azalina mendakwa bahawa SPRM telah menyatakan bahawa hasil siasatan mereka tidak menunjukkan bahawa perdana menteri telah melakukan sebarang perbuatan rasuah.

TAGS