SPRM Selangor sasar 3 tahun bebas rasuah sektor kritikal

SPRM Selangor sasar 3 tahun bebas rasuah sektor kritikal

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menetapkan sasaran untuk memastikan sektor kritikal di negeri ini bebas daripada gejala rasuah dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Beliau berkata sektor kritikal yang dimaksudkan itu merangkumi agensi perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

“Ini merupakan strategi baharu SPRM yang direncanakan sejak Ogos lalu. SPRM akan memastikan sektor kritikal khususnya badan penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, GLC, sektor swasta serta institusi kewangan dan perbankan bersih dan bebas daripada amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program ‘Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2016’ peringkat Selangor di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden Majlis Belia Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata untuk itu pihaknya akan mempergiatkan pelaksanaan operasi, penguatkuasaan serta penganjuran aktiviti pendidikan kepada masyarakat sebagai langkah bersepadu menghapuskan gejala rasuah.

Wan Ramli berkata bagi memastikan sasaran ini tercapai, fokus dan penekanan turut diberikan kepada pendekatan tindakan merampas semua harta dan hasil rasuah.

“Hal ini perlu bagi memastikan hasil rasuah atau ‘proceeds of corruption’ ini dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung akan melumpuhkan punca kepada berlakunya perilaku jenayah rasuah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya masyarakat terus memberikan sokongan dan berganding bahu bersama SPRM dalam memerangi rasuah.

“Kami mahu SPRM menjadi agensi yang digeruni perasuah, namun pada masa sama mesra rakyat,” katanya.

 

TAGS