SSM serbu pejabat NOW, tanpa notis bertulis

SSM serbu pejabat NOW, tanpa notis bertulis

Beberapa orang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu pejabat pendedah skandal di negara ini, National Oversight & Whistleblowers (NOW) pagi ini dan menuntut untuk memeriksa keseluruhan rekod kewangan NOW, dakwa ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Beberapa orang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu pejabat pendedah skandal di negara ini, National Oversight & Whistleblowers (NOW) pagi ini dan menuntut untuk memeriksa keseluruhan rekod kewangan NOW, dakwa ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Menurut Pengerusi NOW itu, pegawai SSM memberi alasan pemeriksaan dibuat untuk memastikan pendedah skandal itu mematuhi Seksyen 167 Akta Syarikat yang mewajibkan sesebuah syarikat dan pegawai-pegawainya (termasuk pengarah) menyimpan rekod kewangan terperinci sehingga 7 tahun.

“Saya tidak berada di NOW kerana hari Jumaat adalah hari saya berada di Pusat Khidmat Parlimen di Pandan. Saya dimaklumkan oleh Saudara Akmal Nasir, Pengarah Eksekutif NOW yang berada di pejabat bahawa pegawai-pegawai SSM ini tidak memberikan sebarang notis bertulis untuk memeriksa rekod kewangan NOW,” kata Rafizi.

NOW pernah beberapa kali mendedahkan skandal di negara ini termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Tabung Haji.

Pengarahnya, Akmal Nasir, YaPEIM dilihat membelanjakan lagi wang berjumlah RM290,000 di Paris untuk penganjuran kursus perkahwinan yang mana ianya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Rafizi, tindakan SSM hari ini bertentangan dengan undang-undang kerana SSM tidak ada kuasa untuk datang tanpa notis bertulis untuk memeriksa apa-apa dokumen sebuah syarikat atau pertubuhan.

“Setelah berbincang dengan beberapa peguam, kami memaklumkan kepada pegawai-pegawai tersebut supaya menunjukkan notis bertulis terlebih dahulu.

“Saya dimaklumkan oleh Saudara Akmal bahawa alasan yang diberikan oleh pegawai-pegawai tersebut ialah mereka tidak menunjukkan notis bertulis untuk memudahkan urusan kerana jika mereka menunjukkan notis, NOW terpaksa mengemukakan semua dokumen yang disenaraikan di dalam notis tersebut,” katanya.

Untuk membantu NOW, kata Rafizi, mereka mencadangkan lebih baik jika mereka diberikan dahulu rekod lejer dan mereka akan memilih dokumen mana yang sesuai.

“Saya telah menasihatkan NOW untuk menunggu notis bertulis tersebut dan tidak memberi apa-apa akses kepada maklumat selagi notis bertulis itu tidak dikeluarkan. Sebagai pengasas NOW yang telah masak dengan pelbagai cubaan menakutkan kami, saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya.

Sebaik sahaja notis bertulis itu dikeluarkan mengikut undang-undang, beliau akan menasihatkan NOW untuk menyerahkan semua maklumat kewangan bagi tujuan Seksyen 167 Akta Syarikat kepada SSM.

Namun, katanya, jika notis bertulis itu menyenaraikan maklumat yang tidak ada kena mengena dengan keperluan penyiasatan di bawah Seksyen 167 Akta Syarikat (contohnya maklumat kes-kes penyelewengan yang kami sedang siasat), beliau akan berunding dengan peguam untuk mencabar notis bertulis itu.

“Saya kesal kerana organisasi yang membongkarkan penyelewengan wang rakyat seperti NOW terus menjadi sasaran pihak berkuasa. Selain saya sendiri yang berdepan dengan 12 tindakan undang-undang setakat ini, Saudara Akmal pun pernah disaman oleh menteri sebelum ini.

“Saya menasihati supaya SSM lebih menumpukan kepada pelbagai penemuan oleh Ketua Audit Negara mengenai salahlaku 1MDB dan dirumuskan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC). Pelanggaran–pelanggaran oleh 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat adalah banyak dan saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai pelanggaran-pelanggaran di bawah Akta Syarikat ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan, kenapa sehingga sekarang SSM masih belum menyerbu 1MDB?

TAGS