Status Quo main peranan perkukuh, satukan akidah umat Islam

Status Quo main peranan perkukuh, satukan akidah umat Islam

Sudah tiba masanya kerajaan mengekalkan status quo bagi memperkukuhkan akidah dan menyatukan umat Islam sejajar dengan prinsip maqasid syariah,  kata Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dari Jabatan Feqah dan Usul, Universiti Malaya.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sudah tiba masanya kerajaan digesa untuk mengekalkan status quo bagi memperkukuhkan akidah dan menyatukan umat Islam sejajar dengan prinsip maqasid syariah,  kata Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dari Jabatan Feqah dan Usul, Universiti Malaya.

Katanya, status quo ini berperanan untuk mengatasi perbezaan mazhab yang semakin menular di kalangan umat Islam masa kini.

“Status quo kini hanya ada pada kerajaan yang mempunyai kuasa dan majoriti umat Islam yang kini mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Terdapat juga pihak yang berfahaman sebaliknya (lain mazhab) mahu memecahkan status quo itu dan cuba memberi pandangan baru dalam mazhab Shafie.

“Jika keadaan ini berlaku, tidak dikawal secara positif memungkinkan akidah umat Islam akan mula terjejas, sebaliknya jika status quo itu dimanfaatkan untuk penyatuan umat dan kepentingan maqasid syariah ia boleh menyatukan umat dan mengukuhkan akidah
walaupun berlainan mazhab,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Sebelum itu beliau menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Antarabangsa Feqah Kontemperori yang bertemakan: Maqasid Al Syariah: Cabaran Standard, Kontemporari dan Pelaksanaan, di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

Justeru untuk mengekalkan status quo itu, ujarnya, konsep ASWJ itu haruslah didefinasikan semula untuk mengatasi perbezaan pendapat.

“Jika  perbezaan pendapat itu berlaku dalam kerangka yang betul ia akan menjadi positif yang akan melahirkan ide lebih baik.

“Hari ini kita bukan sahaja berhadapan dengan perbezaan pendapat di kalangan parti politik yang dipimpin umat Islam sahaja bahkan yang paling merbahaya adalah perbezaan mazhab.

“Jika perbezaan mazhab itu negatif disebarkan dalam keadaan tidak terkawal sama ada untuk kepentingan pemimpin mazhab atau kepentingan politik sehingga fahaman mazhab itu dineutralkan ia akan boleh meruntuhkan status quo yang ada,” ujarnya.

“Maqasid syariah adalah jalan penyelesaiannya. Pihak kerajaan perlu campur tangan untuk menghentikan penyebaran fahaman mazhab yang semakin meresap dalam sekelompok masyarakat Islam di negara ini,” ujarnya.

Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dakwa Negara (MDN)  mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertindak tegas dengan melaksanakan undang-undang untuk menghalang penyebaran dan perdebatan berkaitan mazhab di negara ini.

“Malaysia berpegang kepada mazhab Shafie. Konsep ASWJ perlu diperluaskan dan lebih inklusif sebagai mengimbangi mazhab yang lainnya.

“Kita tidak perlu terlalu fanatik dengan ASWJ… kena didefinasi semula ASWJ jangan kita nak bergaduh dengan mazhab lain di negara ini.

“Amat dibimbangi jika akidah dijadikan platform politik, jika parti politik berasaskan Syiah, seperti yang berlaku di timur tengah apabila berlaku campur tangan luar melalui kumpulan politik yang membawa sekali fahaman akidahnya, keadaan tidak lagi boleh dikawal.

“Jadi kerajaan perlu memainkan peranannya untuk mengukuhkan status quo  ini. Kita tidak mahu menjadi seperti negara Indonesia atau pun Iran di masa akan datang,” ujarnya.

TAGS