Stop korupsi, sudah titik, kata Jokowi selepas KPK tahan speaker DPD untuk siasatan

Stop korupsi, sudah titik, kata Jokowi selepas KPK tahan speaker DPD untuk siasatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) hari ini mengesahkan Speaker dewan itu Irman Gusman telah ditahan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Media dalam talian memetik Timbalan Speaker DPD Faoruk Muhammad sebagai berkata, bagaimanapun kes rasuah itu tidak berkaitan dengan fungsi dan bidang kuasa DPD.

DPD adalah sebuah lembaga tertinggi negara dalam sistem ketatanegaraan Indonesia dan anggotanya terdiri daripada perwakilan setiap provinsi yang dipilih melalui pilihan raya.

Sementara itu, Ketua KPK Agus Rahardjo dalam sidang akhbarnya lewat petang tadi berkata, pemimpin politik itu ditahan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes berkaitan kuota gula import yang diberikan kepada sebuah syarikat di Sumatera Barat.

Katanya, selain ahli politik kanan itu, KPK turut menahan sepasang suami isteri ketika mereka keluar dari rumah ahli politik terbabit.

Beliau berkata, KPK turut merampas satu bungkusan yang mengandungi wang tunai berjumlah Rp100 juta (kira-kira RM30,000) dalam rumah ahli politik itu.

Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik sebagai berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada KPK dan menghormati apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh badan pencegah rasuah itu.

“Pada kesempatan yang baik ini, saya juga menegaskan sekali lagi stop korupsi. Sudah titik, untuk siapapun,” kata beliau.

TAGS