Suami isteri, 5 anak parah kemalangan melibatkan treler

Suami isteri, 5 anak parah kemalangan melibatkan treler

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sepasang suami isteri maut manakala lima anak mereka parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Alor Punti, Pendang, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata dua mangsa yang maut itu ialah pemandu kenderaan jenis Perodua Alza iaitu, Mohd Padzil Rashid, 50, dan isterinya, Masmiwaza Mohd. Noor, 42.

Katanya lima anak mereka yang parah ialah Masyitah, 12; pasangan kembar iaitu Muhammad Asyraf dan Muhammad Akmal, 11; Munirah, 7, dan Maisarah (belum diketahui umur).

Menurutnya Mohd Padzil dan Masmiwaza merupakan guru masing-masing bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dan SMK Tobiar.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Titi Haji Idris menghala ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV tersebut terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.

“Pemandu maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan (isterinya) meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Fadzil berkata mangsa yang terkorban dan semua anak mereka yang parah itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan sehingga kini tiada sebarang unsur khianat atau jenayah,” katanya.

TAGS