Subramaniam beri amaran jangan perkecil undi kaum India

Subramaniam beri amaran jangan perkecil undi kaum India

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemimpin Barisan Nasional (BN) diminta tidak mengambil mudah jumlah undi yang kecil dari kaum India yang dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata dalam iklim politik masa kini jumlah 500 atau 800 undi dari pengundi kaum India adalah besar dan impaknya mampu membawa kemenangan atau kekalahan sesuatu kerusi.

Sebagai contoh katanya, di Terengganu, hanya terdapat dua bahagian mempunyai pengundi India iaitu di Kemaman dan Kuala Terengganu dengan jumlah pengundi seramai 1,800 orang.

“Sebab itu, kita mahu hubungan pemimpin parti bersama para pengundi dapat ditingkatkan terutamanya di peringkat akar umbi supaya kita boleh ukur kekuatan pengundi kita, sekali gus membantu memberi kemenangan yang lebih baik kepada BN pada PRU ke-14 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Konvensyen Perwakilan MIC peringkat negeri di sini hari ini.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata MIC Terengganu akan berusaha meningkatkan sokongan pengundi kaum India terhadap parti di negeri ini termasuk menjalankan pendaftaran ahli baharu serta mendekati golongan akar umbi supaya mereka boleh terus memainkan peranan yang lebih aktif.

“Kita sedang berusaha mentransformasikan masyarakat India menerusi beberapa rancangan dalam meningkatkan ekonomi, pendidikan dan sosioekonomi dengan harapan satu perubahan holistik akan berlaku kepada kaum India dan mereka akan kembali menyokong BN.

“Salah satu program adalah meningkatkan bidang pendidikan, iaitu membina asrama sekolah dan pusat pendidikan di kawasan yang mempunyai ramai pelajar India khusus untuk golongan berpendapatan rendah supaya mereka dapat menikmati pendidikan dalam suasana lebih baik sekali gus membantu mereka mencapai kejayaan.

“Perkara ini sedang diperbincangkan dengan Kementerian Pendidikan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turut bersetuju dengan cadangan itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara,” katanya.

TAGS