Soroton sukan 2015 : Kejayaan yang menarik perhatian umum

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Berikut ialah kronologi peristiwa arena sukan yang menarik perhatian pada 2015:

JANUARI:

 7 Jan – Isu tunggakan gaji selama lima bulan melibatkan 12 pemain Perlis akhirnya diselesaikan menerusi perjumpaan tertutup antara pemain terbabit dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 8 Jan – Pasukan Harimau Malaya membuka lembaran 2015 di kedudukan ke-154 dunia berdasarkan senarai ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

 20 Jan – Bekas atlet heptathlon negara, Datuk Zaiton Othman lakar sejarah apabila diumumkan sebagai Pesuruhjaya Sukan wanita yang pertama di Malaysia berkuat kuasa 1 Feb.

 22 Jan – Ratu skuasy negara Datuk Nicol David gagal mempertahankan gelaran Kejohanan Juara-Juara (ToC) di New York.

 23 Jan – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pemegang hak media antarabangsa terkemuka, Media Partners & Silva (MP & Silva) menjelang penswastaan Liga Malaysia (Liga M) pada 2016.

 24 Jan – Atlet elit paralimipik negara dan pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya.

 25 Jan – Malaysia muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) 2015 selepas membelasah Poland 8-0 pada perlawanan akhir, sekali gus mara ke separuh akhir WHL pada Jun.

 26 Jan – Pesuruhjaya Sukan umum keputusan menarik balik penggantungan pendaftaran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) setelah berpuas hati dengan tindakan pembetulan yang telah dilaksanakan badan induk sukan berbasikal negara itu.

 31 Jan – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 selepas mengalahkan Pahang 2-0 pada perlawanan sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu. Perlawanan itu adalah pembukaan musim baharu Liga Malaysia.

FEBRUARI:

 1 Feb – Datuk Zaiton Othman memulakan tugasnya sebagai Pesuruhjaya Sukan sebagai sebagai Pesuruhjaya Sukan wanita pertama negara.

 1 Feb – Malaysia menepati sasaran apabila muncul juara kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia Berpasukan ke-17 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

 2 Feb – Datuk Seri Subahan Kamal menang tanpa bertanding jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi penggal 2015-2018 selepas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang merupakan Presiden MHC sejak 2008 menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan itu pada tahun 2014.

 2 Feb – Datuk Nicol David mencipta rekod baharu dunia apabila dapat bertahan selama 106 bulan sebagai pemain nombor satu dunia dalam senarai terbaharu Persatuan Skuasy Wanita (WSA).

 4 Feb – Datuk Nicol David lakukan hatrik gelaran Kejohanan Cleveland Classic 2015 di Ohio, Amerika Syarikat hari ini, sekali gus melakarkan kemenangan pertama bagi tahun 2015.

 5 Feb – Dua pemain beregu lelaki negara Hoon Thien How dan Lim Khim Wah membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 8 Feb – Malaysia berjaya menumpaskan musuh tradisinya Thailand 2-0 (21-7 dan 21-19) dalam pertarungan hampir sejam bagi merangkul kejuaraan kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015 di Melaka.

 8 Feb – Pemain berpengalaman Danny Chia dan pemain amatur terbaik negara, Gavin Kyle Green muncul pemain Malaysia paling menyerlah pada kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2015.

 8 Feb – Skuad Bawah 22 Tahun negara (Harimau Muda) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Bangabandhu 2015 selepas menewaskan Bangladesh 3-2 pada aksi final di Stadium Nasional Bangabandhu, Bangladesh.

 10 Feb – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan membatalkan acara kontroversi, Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015 yang dicadangkan berlangsung di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, pada 23-24 Mei.

 12 Feb – Pengulas sukan Datuk Hasbullah Awang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

 20 Feb – Pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa acara keirin kategori lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis.

 26 Feb – Kemelut yang timbul antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley akhirnya mencapai penyelesaian, selepas enam jam perbincangan berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN).

MAC:

 2 Mac – Pengarah Teknikal Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen memulakan tugas.

 3 Mac – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima tajaan berjumlah RM60 juta daripada syarikat pembekal peralatan sukan, Victor dari Taiwan untuk tempoh enam tahun.

 5 Mac – Nicol tewas kepada pemain Mesir, Raneem El Weleity pada perlawanan akhir Terbuka Windy City 2015.

 14 Mac – Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) dipecat manakala Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) hilang hak sebagai anggota bersekutu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkuat kuasa pada tarikh ini.

 19 Mac – Gandingan Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong menghadiahkan pingat gangsa buat negara pada pusingan kedua Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai.

 23 Mac – Pemain boling elit negara, Sin Li Jane meraih tempat kedua di kejohanan boling campuran – Cabaran Euro Brunswick 2015 di Munich, Jerman.

 26 Mac – Skuad Harimau Malaya diaibkan Oman dengan kekalahan 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ di Stadium Al-Seeb, Oman.

 27 Mac – Gandingan Natasha Roslan dan Nora Lyana Natasia Norkamal berjaya meraih pingat perak dalam acara beregu perempuan pada Kejohanan Boling Remaja Asia ABF ke-18 di Macau.

 29 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menganjurkan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia dilanjutkan untuk tiga tahun sehingga 2018.

 29 Mac – Pemandu Jerman, Sebastian Vettel daripada pasukan Scuderia Ferrari menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Petronas Grand Prix Malaysia 2015 di Litar Antarabangsa Sepang.

 31 Mac – Hasrat Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah-23 2016 tidak kesampaian selepas mengalami kekalahan kedua pada aksi terakhir pusingan kelayakan Kumpulan I.

 Kekalahan tipis 0-1 skuad B-22 negara kepada Jepun di Stadium Shah Alam itu sekali gus menutup terus peluang Malaysia beraksi di pusingan akhir kejohanan berkenaan pada Januari tahun depan.

APRIL:

 2 April – Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei jatuh ke tangga ke-16 dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

 2 April – Datuk Nicol David masih mengungguli kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia yang disandangnya sejak Ogos 2006, walaupun gagal meraih sebarang gelaran setakat ini.

 9 April – Kekalahan 0-6 kepada Oman pada aksi persahabatan antarabangsa menyaksikan Malaysia jatuh 11 anak tangga dalam ranking bola sepak dunia dan berada pada kedudukan ke-164 dunia.

 11 April – Proses pendengaran kes doping Datuk Lee Chong Wei di Amsterdam.

 12 April – Malaysia menutup tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 dengan kedudukan tercorot setelah tewas 3-1 kepada Kanada menerusi penentuan penalti di Stadium Azlan Shah, Perak.

 16 April – Pemain boling elit Malaysia menampilkan penguasaan apabila menjuarai kategori lelaki dan wanita pada kejohanan stepladder Terbuka Antarabangsa Thailand 2015 yang berlangsung di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin di Bangkok, Thailand.

 17 April – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Red Warriors Sdn Bhd, Kevin Ramalingam dilantik sebagai CEO Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) untuk tempoh tiga tahun.

 20 April – Bekas juara dunia, Hendrawan diberi peranan lebih besar dengan membimbing Chong Wei selepas jaguh badminton negara itu bebas daripada tuduhan doping terhadapnya.

 27 April – Datuk Lee Chong Wei menerima keputusan panel pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes dopingnya yang BWF menggantungnya selama lapan bulan bermula tarikh ujian doping pada aksi Kejuaraan Dunia di Copenhagen, Denmark pada 30 Ogos tahun lepas dan penggantungan itu berakhir pada 30 April.

 28 April – Datuk Nicol David cipta rekod baharu apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali ke-10 manakala jaguh bina badan Sazali Abd Samad pula muncul Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2014.

 30 April – Selepas lapan bulan penggantungan akibat kesalahan kes doping, kedudukan ranking dunia Datuk Lee Chong Wei jatuh ke tempat ke-45 dalam ranking BWF.

MEI:

 1 Mei – Datuk Nicol David masih mengekalkan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia selama 106 bulan berturut-turut, walaupun setakat ini hanya meraih satu gelaran tahun ini.

 1 Mei – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan selepas dipilih antara tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia, untuk penggal 2015-2019.

 1 Mei – Pasangan terjun wanita negara, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong, meraih pingat perak pada siri keempat Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 yang berlangsung di Pusat Akuatik London, Queen Elizabeth Olympic Park di Stratford, London.

 6 Mei – Jumlah pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016 kekal dengan 24 pasukan iaitu masing-masing 12 dalam Liga Super dan Liga Perdana walaupun pengelolaan liga itu diambil alih oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

 6 Mei – Datuk Nicol David rangkul gelaran juara Asia buat kali kesembilan pada Kejohanan Skuasy Asia edisi ke-18 di Kuwait.

 7 Mei – Ranking bola sepak negara jatuh dua anak tangga pada kedudukan 166 dunia dalam senarai yang dikeluarkan FIFA bagi bulan April-Mei 2015.

 9 Mei – Skuad memanah compound wanita negara mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama Malaysia pada Piala Dunia Memanah 2015 di Shanghai, China.

 9 Mei – Panel Rayuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan untuk mengurangkan hukuman penggantungan terhadap pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dari 18 kepada 12 bulan selepas didapati positif mengambil dadah terlarang jenis ‘dexamethasone’ hasil pemeriksaan terhadap air kencingnya semasa menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Kangar pada 31 Mei 2014.

 12 Mei – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan aksi terakhir kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan bergaya setelah membenam wakil Singapura, Balestier Khalsa FC 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin namun JDT sudah mengesahkan kejayaan lebih awal ke pusingan kedua pada 28 April.

 13 Mei – Presiden Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), George Koshy memenangi jawatan Timbalan Presiden selepas menewaskan Naib Presiden Kanan, Datuk Nur Azmi Ahmad pada pemilihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

 13 Mei – Pahang mengesahkan slot ke pusingan kedua (16 terakhir) Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) walaupun terikat tanpa jaringan menentang wakil Filipina, Global FC pada aksi terakhir kumpulan G di Stadium Philippine Sports, Filipina.

 14 Mei – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan Perak dan Johor dipilih sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma), masing-masing pada 2018 dan 2020.

 23 Mei – Pasukan dari Singapura, Lions XII menjuarai Piala FA 2015 setelah mengalahkan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 24 Mei – Pakar prestasi elit, Keith Power, dilantik sebagai pengarah Sukan Prestasi Tinggi (HPS) yang baharu.

 25 Mei – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berjaya meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada Kejohanan Terjun Siri Dunia 2015 di Windsor, Kanada.

 27 Mei – Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur mengalahkan skuad Malaysia XI 2-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

 27 Mei – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mengalahkan kelab Myanmar, Ayeyawady United 5-0 di dalam saingan pusingan kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bharu.

 30 Mei – Pasangan terjun wanita negara, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong berjaya meraih pingat gangsa pada siri akhir Kejohanan Terjun Dunia FINA 2015 di Merida, Mexico.

JUN:

 2 Jun – Jawatankuasa Tatatertib Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menggantung enam perlawanan kepada pemain tengah skuad Bawah-23 negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor akibat kesalahan meludah pemain Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B dalam temasya Sukan SEA 2015 Singapura di Stadium Bishan, Singapura. Beliau dihantar pulang pada hari berikutnya.

 2 Jun – Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) Datuk Karim Ibrahim telah dipilih sebagai anggota majlis individu dalam Persatuan Olahraga Asia (AAA).

 4 Jun – Bekas jurulatih Kelantan Steve Darby mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempercepatkan tindakan dalam menyelesaikan isu kontrak beliau dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

 7 Jun – Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengesahkan pelumba negara, Muhammad Zamri Baba terlibat kemalangan semasa Perlumbaan 1600cc SuperSports di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia.

 9 Jun – Pelumba Malaysia Zaqhwan Zaidi daripada JPMoto Racing Team, tidak akan meneruskan aksi bersama pasukan berkenaan pada baki perlumbaan Moto2 musim ini.

 9 Jun – Atlet olahraga, Muhammad Hakimi Ismail melakar sejarah apabila berjaya menamatkan kemarau pingat emas negara selama 18 tahun dalam acara lompat kijang pada Sukan SEA ke-28 di Singapura dan turut memperbaharui rekod Sukan SEA, selepas mencatat lompatan sejauh 16.76m.

 10 Jun – Datuk Nicol David tersekat di saingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa Alexandria selepas kalah kepada pemain tuan rumah Omneya Abdel Kawy di Bibliotheca Alexandrina, Mesir.

 14 Jun – Malaysia menjuarai Kejohanan Ragbi Piala Cresent apabila menewaskan pasukan pilihan Algeria 19-11 pada perlawanan akhir di Politeknik Merlimau, Melaka.

 16 Jun – Skuad Harimau Malaya mengalami igauan ngeri apabila dibelasah 6-0 oleh Palestin pada perlawanan Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 17 Jun – Malaysia meraih 62 pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-28 yang berakhir di Singapura dengan melepasi sasaran maksimum 184 pingat atau 56 peratus jumlah pingat keseluruhan.

 22 Jun – Datuk Lee Chong Wei meraih kejuaraan pertama beliau dalam Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat.

 28 Jun – Malaysia menamatkan cabaran Kumpulan B dengan kekalahan 1-3 kepada Great Britain pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (HWL) di Stadium KHC Dragons di Antwerp, Belgium.

 29 Jun – Skuad badminton Malaysia muncul naib juara kumpulan C dan menempah slot ke suku akhir Kejohanan Remaja Asia 2015 di Bangkok, Thailand.

 29 Jun – Datuk Lee Chong Wei menjuarai Terbuka Kanada 2015 di Calgary.

 30 Jun – Skuad bola kebangsaan Bawah 13 Tahun di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) memulakan kempen dengan bergaya pada Piala Iber 2015 selepas memenangi dua perlawanan berturut-turut pada pusingan awal kejohanan di Portugal.

JULAI:

 1 Julai – Datuk Nicol David mengekalkan kedudukannya sebagai pemain wanita nombor satu dunia untuk tempoh mengagumkan selama 108 bulan berdasarkan ranking terbaru WSA (Womens Squash Association).

 2 Julai – Skuad hoki Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila tumpas 2-3 kepada India pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Sedunia (HWL) di Stadium KHC Dragons di Antwerp, Belgium.

 9 Julai – Selepas 22 tahun, bekas jurulatih negara Terry Walsh dari Australia kembali semula dengan peranan yang lebih mencabar untuk memulih dan mengembalikan zaman kegemilangan sukan hoki negara di persada antarabangsa.

 24 Julai – Kelab tersohor Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan skuad Pilihan Malaysia seri 1-1 pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

 29 Julai – Atlet terjun negara Pandelela Rinong Pamg atlet pertama meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 selepas mara ke pusingan akhir Kejohanan Akuatik Dunia FINA Ke-16 bagi acara 10m platform wanita.

 31 Julai – Seorang lagi penerjun negara, Ng Yan Yee berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik bagi acara 3m papan anjal wanita.

OGOS:

 21 Ogos – Kedah mengesahkan trofi Liga Perdana 2015 selepas melakar kemenangan besar 5-1 ke atas DRB Hicom FC pada aksi terakhir liga di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kedah dan Pulau Pinang layak beraksi pada Liga Super 2016, manakala Kuala Lumpur dan SPA Putrajaya FC diturunkan untuk bersaing dalam Liga FAM 2016.

 22 Ogos – Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berjaya mempertahankan jawatan selaku presiden selepas mengalahkan Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor pada pemilihan bagi penggal 2015/2017 Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

SEPTEMBER:

 4 Sept – Dollah Salleh meletak jawatan selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya berikutan kekalahan memalukan pasukan negara pada perlawanan ketiga Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

 Beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya itu sejak 28 Jun 2014, kerana berasa bertanggungjawab di atas kekalahan mengaibkan skuad negara 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Mohammed Bin Zayed, UAE, pada 3 Sept.

 5 Sept – Penerjun negara Ooi Tze Liang layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro bagi acara 3m papan anjal individu lelaki pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2015 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

 7 Sept – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melantik bekas jurulatih negara Stephen Van Huizen sebagai jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan berkuat kuasa 1 Okt.

 9 Sept – Ranking ratu skuasy dunia Datuk Nicol David jatuh kedudukan kedua dunia selepas berada dalam kedudukan pertama selama 109 bulan.

 29 Sept – Arena skuasy sekali lagi menerima tamparan selepas sukan berkenaan gagal mendapat ‘lampu hijau’ dalam program Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

 Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 mengumumkan lima sukan utama serta 18 sukan tambahan telah diluluskan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi keputusan muktamad semasa Sesi IOC ke-129 di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos 2016.

OKTOBER:

 11 Okt – Gandingan veteran negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong membuktikan mereka masih berbisa apabila menjuarai acara beregu lelaki kejohanan badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Belanda di Topsportcentrum Almere Arena, Belanda.

 12 Okt – Pasukan Mercedes AMG Petronas Formula One (F1) meraih kategori Kejuaraan Pengeluar Dunia F1 FIA 2015 di Grand Prix Rusia. Gelaran Kejuaraan Pengeluar F1 2015 itu adalah kedua berturut-turut untuk pasukan berkenaan dan Petronas.

 25 Okt – Insiden membabitkan pelumba dunia, Valentino Rossi dari Itali dan Marc Marquez dari Sepanyol sewaktu perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia menjadikan saingan di Litar Sepang itu sebagai perlumbaan paling kontroversi musim ini.

 Saingan MotoGP di Litar Sepang itu merupakan perlumbaan yang ditunggu-tunggu kerana aksi sengit antara Rossi, selaku pendahulu kedudukan keseluruhan dunia dan juara bertahan, Marquez.

NOVEMBER:

 8 Nov – Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad menempah tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas menjuarai pusingan Olimpik Kejohanan Memanah Asia di Bangkok.

 8 Nov – Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka China manakala Goh Jin Wei meraih Kejuaraan Dunia Remaja di Brazil perseorangan wanita.

 26 Nov – Ranking Datuk Lee Chong Wei naik ke kedudukan ketiga dunia selepas memenangi Terbuka China.

DISEMBER:

 10 Dis – Atlet paralimpik Malaysia berjaya raih 147 pingat di temasya Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura.

 Kontinjen negara sebanyak 316 orang merangkumi 197 atlet dan 119 pegawai menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan mengutip 52 pingat emas, 58 perak dan 37 gangsa.

 11 Dis – Perlumbaan berbasikal tertua negara, Jelajah Malaysia hampir dibatalkan akibat masalah kewangan.

 12 Dis – Selangor meraih Piala Malaysia buat kali ke-33 selepas mengalahkan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam.

 13 Dis – Pelumba Sepanyol, Francisco Mancebo juarai perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia.

 

 

TAGS