Sukarnya mendapatkan senaskah akhbar Amanah

Sukarnya mendapatkan senaskah akhbar Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setelah setahun usia Parti Amanah Negara(Amanah), parti baru ini telah berupaya menerbitkan akhbarnya sendiri berjudul AMANAH. Sehingga pertengahan bulan Oktober 2016, Amanah telah menerbitkan Bil.20 (9-15 Oktober 2016).

Yang melucukan, baru sekarang saya berjaya memiliki senaskah akhbar tersebut. Sebelum ini saya sememangnya menjadi pelanggan tetap kepada akhbar-akhbar HARAKAH dan SUARA KEADILAN . Pengedarnya adalah seorang muslimah yang saban minggu berjualan akhbar-akhbar di tapak gerai-gerai Pengajian Mingguan Madrasah An Nahdhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Seperti biasa, dua minggu lalu, saya bertanyakan kepada muslimah berkenaan tentang akhbar AMANAH. Saya nyatakan bahawa saya berhajat juga untuk membelinya sekali dengan akhbar-akhbar SUARA KEADILAN dan HARAKAH . Saya agak kaget apabila muslimah berkenaan menjawab, “Kami tak jual akhbar orang pembelot , kawan orang kafir !” jawabnya ringkas, dengan nada suara yang agak tinggi. “Ok, Ok, saya faham”, jawab saya lembut dan terus beredar dari gerainya.

Beberapa orang jemaah pengajian pandang memandang antara satu sama lain apabila mendengar jawapan yang agak memedas itu dari muslimah berkenaan. Dalam hati saya berkata, “Kalau beginilah dia melayan pelanggan, memang susah untuk orang Melayu berjaya dalam perniagaan.”

Sebelum ini, selama berurusan dengan peniaga-peniaga Cina, saya tidak pernah menerima layanan sedemikian. Peniaga-peniaga Cina cukup bijak dan mesra melayan pertanyaan dan karenah pembeli-pembeli . Walau pun mereka tidak dapat memberikan diskaun harga yang kita minta, mereka akan memberikan alasan yang munasabah dan masih boleh memberikan senyuman yang manis. Malahan, setiap kali masuk kedai, saya disapa dengan ucapan yang cukup mesra dan menggembirakan, “Cari apa BOSS ?”Jelasnya kita tidak akan merajuk untuk datang lagi ke kedainya.

Berlain sekali dengan segelintir peniaga-peniaga Melayu yang agak sudah berjaya, kadang kala begitu angkuh dan sombong melayan pelanggan-pelanggan. Pelanggan-pelanggan mereka kadang kala dianggap sebagai orang tidak penting, malahan kadang kala dianggap sebagai menyusahkan mereka. Panggilan hormat kepada pelanggan seperti Tuan/Puan, Pak Cik/Mak Cik, Encik/Cik dan lain-lain tidak pernah terdengar oleh saya. Walhal dalam perniagaan, pelanggan-pelanggan lah yang bakal melariskan barang-barang dagangan mereka.

Saya bukan lah berniat untuk terlalu membela peniaga-peniaga Cina, tetapi itulah kenyataannya yang sering terjadi. Peniaga-peniaga Melayu kurang bijak dan kurang mesra dalam melayan pelanggan-pelanggan. Seni berkomunikasi yang baik tidak ada walau pun orang Melayu dahulu dikenali sebagai bersopan santun dan cukup menghormati orang lain. Tidak hairan lah kita masih lagi jauh ketinggalan dalam dunia perniagaan.

Semenjak kejadian di atas, saya tetap berusaha mencari akhbar AMANAH. Saya memang akur bahawa akhbar AMANAH adalah untuk ahli-ahli Amanah sahaja. Setiap kedai yang menjual suratkhabar sekitar pekan Kubang Semang (Penanti) akan saya singgah. Saya tidak mahu bertanya kepada penjualnya. “Bimbang Kalau Pisang Berbuah Dua Kali”, kata hati kecil saya. Cukup sekadar meninjau dan membelek-belek di sebalik timbunan akhbar-akhbar yang tergantung atau terletak di atas meja. Saya ada juga bertanya dengan sahabat-sahabat penjual akhbar yang saya cukup kenali. Jawapan ringkas mereka adalah, “Tiada bekalan diterima”.

Entah bagaimana, minggu lepas saya sempat singgah di sebuah kedai runcit India di Jalan Telaga Air, Butterworth untuk membeli sedikit barang. Saya terpandang ada naskah akhbar AMANAH tergantung di tepi dinding kedai. Dengan pantas saya ambil akhbar tersebut dan membayar harganya. Saya sempat bertanya pemilik kedai, “Macam mana you boleh jual ini paper, tempat lain susah mau dapat ?”. Pemilik kedai dengan tersenyum menjawab, “Saya jual semua paper, ROCKET pun ada ! “. Saya tersenyum gembira dan berjanji untuk datang lagi. Pemilik kedai tersebut mengucapkan terimakasih dan saya berlalu pergi dengan gembira kerana impian saya untuk memiliki akhbar AMANAH telah kesampaian.

Rupanya di kawasan Parlimen Bagan, di mana Ahli Parlimen nya adalah YAB Tuan Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, akhbar AMANAH mudah didapati. Aneh sungguh, Amanah yang majoriti ahli-ahlinya dikatakan orang Melayu, tidak mampu menjadi pengedar akhbar parti sendiri, masih bergantung kepada orang lain.

Dalam hal ini saya berpendapat Ketua-Ketua Bahagian Parti Amanah serta AJKnya perlu berbuat sesuatu agar akhbar parti, AMANAH yang menjadi nadi komunikasi antara pemimpin dengan ahli-ahli parti serta penyokong-penyokong pakatan pembangkang dapat dijual dengan mudah.

Memang diakui dalam zaman serba canggih ini, di mana sumber maklumat-maklumat boleh diperolehi di hujung jari, akhbar-akhbar AMANAH, SUARA KEADILAN dan ROKET boleh ditatapi dengan hanya melayari laman web akhbar-akhbar berkenaan.

Namun demikian, kemudahan ini hanya boleh dinikmati oleh warga yang mempunyai kemudahan internet dan telefon pintar. Oleh yang demikian, akhbar-akhbar masih menjadi alat komunikasi maklumat yang penting bagi kebanyakan rakyat dan pengundi. Ceramah-ceramah politik bukan boleh dihadiri oleh semua orang.

Dalam hal berkomunikasi ini, saya melihat DAP amat berjaya dalam mengekalkan pengaruh mereka dengan penyokong dan pengundi mereka. DAP jarang mengadakan ceramah-ceramah politik. Namun setiap kali pilihan raya, calon-calon mereka tetap menang dengan majoriti yang cukup meyakinkan. Contoh yang amat mudah adalah sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) untuk Parlimen Bukit Mertajam dan Bagan. DAP tidak perlu mengadakan begitu banyak ceramah-ceramah dan memasang terlalu banyak poster parti dan calon.

CATEGORIES
TAGS