Sultan Kedah mangkat di Istana Anak Bukit

Sultan Kedah mangkat di Istana Anak Bukit

 

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilaporkan akan mengadakan satu sidang akhbar mengenainya di Wisma Darul Aman petang ini.

Baginda adalah satu-satunya Raja-raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 (21 September 1970 – 20 September 1975) dan yang ke-14 (13 Disember 2011 – 13 Disember 2016).

Baginda diputerakan di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah sebagai Tunku Abdul Halim pada 28 November 1927. Baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah bersama Tunku Safiah Tunku Mahmud yang kemudiannya dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 1949.

Selain itu, baginda ialah anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, perdana menteri Malaysia yang pertama.

Jawatan Raja Muda Kedah sekarang dipegang oleh Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang dimasyhurkan pada 15 Disember 2016.

Istiadat pemasyhuran pelantikan serta menjunjung duli itu diadakan selepas keberangkatan pulang Tuanku Abdul Halim setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 Nov 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

Tunku Sallehuddin, 74, adalah juga adinda Tuanku Abdul Halim.

CATEGORIES
TAGS