Sumbangan amal jariah YaPEIM bina pusat sukan golf simulator?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kepincangan agihan dana amal jariah melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) terus dibongkar apabila Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) hari ini mempersoal kewajaran yayasan itu mewujudkan pusat sukan golf simulator di Selangor.

Pengarah NOW, Akmal Nasir dalam sidang media pagi tadi mendedahkan laporan bajet YaPEIM bagi 2013 yang menyebut tentang kewujudan Pusat Latihan Institut Penyelidikan dan Perundingan YaPEIM (Input) Golf bagi tujuan aktiviti sukan korporat dan program permainan golf.

Ini termasuk mengenal pasti kelab golf yang relevan untuk dijadikan sebagai Pusat Kegiatan dan Latihan Sukan Korporat Golf.

Beliau juga memberitahu terdapat sebanyak lapan kali aktiviti permainan golf membabitkan staf dan agensi YaPEIM seperti dinyatakan Kelab Sukan Korporat YaPEIM dalam laporan tahunan berkenaan.

“Seperti yang dinyatakan dalam laporan bajet 2013, tujuannya dikatakan cuma memenuhi program sukan korporat YaPEIM,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PKR Johor itu.

Akmal turut mendedahkan antara program permainan golf yang disertai kakitangan YaPEIM dan agensi di bawah yayasan itu serta agensi luar.

Antaranya, beliau memberitahu program terbesar iaitu Majlis Hi-Tea Golf Amal Silaturrahim Sambutan Aidilfitri YaPEIM di Kota Kinabalu, Sabah yang berlangsung pada 18 Ogos 2013 melibatkan 56 peserta.

Turut menghadiri aktiviti permainan golf tersebut, jelasnya, adalah pemimpin-pemimpin negeri Sabah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagi membuktikan kewujudan pusat sukan bertaraf mewah itu, Akmal turut mendedahkan rekod tentang peralatan golf simulator yang tersenarai dalam aset yang mengalami susut nilai tahunan seperti terkandung dalam Nota-nota Penyata Kewangan YaPEIM bagi tahun berakhir 31 Disember 2014, bahagian Hartanah, Loji dan Peralatan Susut Nilai.

“Dokumen yang sama juga menunjukan aktiviti utama Input adalah menyediakan khidmat latihan, penyelidikan dan perundingan dalam pelbagai perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Islam mengikut system pengurusan moden berlandaskan hukum syarak,” jelasnya lagi di pejabat NOW di Medan Niaga Tasik Damai, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

YaPEIM, sila jawab

Sehubungan itu, NOW menuntut supaya YaPEIM menjelaskan kewajaran serta kos pemilikan, pengurusan dan pentadbiran pusat latihan sukan elit itu yang terletak di Mentari Business Park, Petaling Jaya.

Akmal turut menggesa yayasan tersebut menjawab persoalan mengenai kos pembelian dan penyelenggaraan peralatan golf simulator itu dari tempoh ia dibeli sehingga pada masa ini.

Terdahulu, NOW pernah mendakwa wujudnya salah guna dana wang YaPEIM melibatkan sejumlah lebih RM400,000 bagi membiayai Jamil Khir untuk bermain golf, lawatan ke pusat beli-belah di Amerika Syarikat serta perjalanan ke luar negara bersama isteri pada tahun 2014.

Pembayaran berkenaan, ujar Akmal, dilakukan melalui institusi di bawah kawalan YaPEIM iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim Miskin (Pemangkin).

TAGS