Sumber dana NGO sumbang tilam bantal gambar PM dipersoal di Dun

Sumber dana NGO sumbang tilam bantal gambar PM dipersoal di Dun

Pembangkang Pulau Pinang diasak menjelaskan punca sebenar sumber dana bantuan bantal dan tilam tertera gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dibawa Kelab Putera 1Malaysia untuk mangsa-mangsa bencana di Pulau Pinang baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata beberapa agensi persekutuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sendiri mengaku tiada lebihan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk diagihkan kepada mangsa, pasca fenomena hujan lebat dan ribut taufan pada 4 November lalu.

“Selepas tiga hari bencana, barulah bantuan bantal dan tilam ada muka perdana menteri diturunkan ke Pulau Pinang, sebelum itu beberapa pegawai kerajaan mengaku jabatan tiada peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Kelab Putera 1Malaysia ini dapat dana bantuan ini daripada mana sebenarnya,” tanya Dr Afif (PKR-Seberang Jaya) ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang petang tadi.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang mengenai kemungkinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan mendapat dana langsung daripada Jabatan Perdana Menteri atau ‘isteri perdana menteri’, untuk melaksanakan ‘kempen politik murahan’ sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di negeri ini.

Ucapan Dr. Afif mengundang pertikaman lidah dengan Datuk Dr. Sr. Mohamed Farid Saad (BN-Pulau Betong) sehingga dihentikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee.

5.0
OVERALL SCORE
3 user votes x 6.7
CATEGORIES