Suri rumah dipenjara dua tahun miliki gambar kumpulan Daesh

Suri rumah dipenjara dua tahun miliki gambar kumpulan Daesh

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini berkata hukuman yang dijatuhkan kepada seorang suri rumah yang didakwa berkaitan kes keganasan Daesh adalah bagi mengekang kegiatan itu yang diibaratkannya seperti gerakan subversif selepas komunis, yang jelas merupakan gerakan yang dibenci seluruh masyarakat.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata demikian dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki lebih 100 gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Mac lalu.

“Perkembangan subversif di Malaysia selepas komunis, (keganasan Daesh) dapat dilihat, dibenci oleh seluruh masyarakat.

“Gerakan subversif merupakan sesuatu yang perlu ditangani kerana ia berselindung di sebalik agama. Ia merupakan satu ancaman yang membawa kepada kekejaman dan kucar-kacir sekiranya tidak dicantas,” kata hakim itu.

Hakim Azman memerintahkan Siti Nor Intan Shafinaz menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Mac lalu.

Siti Nor Intan Shafinaz didakwa memiliki sebuah telefon bimbit jenama Lenovo yang di dalamnya terdapat 139 gambar yang merupakan item berkaitan kumpulan pengganas iaitu kumpulan pengganas Daesh.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No. 104, Kampung Ujung Tanjung, Kuala Perlis, Kangar, Perlis, pada 8.20 pagi, 22 Mac lalu.

Ibu kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Berdasarkan fakta kes pada 22 Mac lepas, tertuduh ditahan sepasukan anggota polis di sebuah rumah dan hasil soal siasat, tertuduh menunjukkan tempat beliau meletakkan sebuah telefon bimbit di bawah bantal di sebuah bilik rumah tersebut.

Hasil analisa polis mendapati terdapat 139 gambar berkaitan kumpulan pengganas dan kegiatan keganasan.

Terdahulu peguam Farida Mohammad yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tempoh reman yang dilalui tertuduh yang mempunyai masalah kesihatan serta mempunyai seorang anak berusia lapan tahun, sudah cukup memberi kesedihan dan trauma kepadanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan kerana pemilikan item pengganas juga adalah satu kesalahan serius yang memerlukan hukuman berat.

TAGS