Suspek dalang utama kes bunuh Bill Kayong akan didakwa hari ini

Suspek dalang utama kes bunuh Bill Kayong akan didakwa hari ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang yang bergelar ‘Datuk’, suspek utama kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong yang ditembak mati pada 21 Jun lepas akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata suspek berusia 45 tahun itu akan dibawa ke mahkamah petang ini kerana kertas pertuduhan sudah disediakan.

Beliau berkata polis Sarawak bersama dengan seorang pegawai Interpol telah berada di Fujian, China sejak Khamis lepas bagi menguruskan pengusiran ‘Datuk’ itu.

“Suspek tiada dokumen perjalanan yang sah menyebabkan diusir keluar dari China kerana Jabatan Imigresen telah membatalkan pasport milik suspek atas permohonan polis Sarawak,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Miri hari ini.

Dev berkata berdasarkan siasatan, suspek telah berada di Fujian Province, China sejak 18 Julai lepas.

Dev berkata selain daripada ‘Datuk’ itu polis sedang menjejaki seorang bernama Kong Ching Bing@Ah Kiang, 26, yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.

Sementara itu Hasyikin Hatta, 41, isteri Allahyarham Bill Kayong berada di Lapangan Terbang Miri selepas mendapat berita tangkapan suspek melalui aplikasi Whatsapp malam tadi.

“Saya datang ke sini untuk melihat sendiri wajahnya,” katanya.

Kayong, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, ditembak mati di dalam sebuah Toyota Hilux kira-kira 8.30 pagi pada 21 Jun, di persimpangan lampu isyarat Lutong di Jalan Miri-Bintulu

Setakat ini, tiga individu telah dihadapkan di mahkamah berkaitan kes pembunuhannya iaitu pengawal kelab malam Mohamad Fitri Pauzi, 29, pemilik pub Lie Chang Loong, 39, dan pembantu peribadi ‘Datuk’ berkenaan Chin Wui Chung, 50.

Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Tinggi Miri pada 25 Nov lepas dan perbicaraan dijalankan bulan depan.

Fitri yang didakwa atas pembunuhan Bill Kayong bakal berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Lie didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri, bersama-sama Chin mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TAGS