Syarikat beli tanah Perda dengan harga murah tidak bina rumah kos rendah

Syarikat beli tanah Perda dengan harga murah tidak bina rumah kos rendah

Syarikat yang membeli tanah PERDA di Seberang Perai Selatan pada harga di bawah harga pasaran tidak mengemukakan sebarang cadangan untuk membina rumah kos murah atau rumah mampu milik seperti didakwa Pengerusi PERDA Datuk Shabudin Yahaya, dedah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) masih gagal menjelaskan skandal penjualan tanah kepada sebuah syarikat swasta yang menyebabkan rakyat Pulau Pinang kerugian RM15.2 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata PERDA masih tidak menjawab banyak persoalan tentang skandal itu, termasuk isu pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat.

Katanya, Pengerusi PERDA Datuk Shabudin Yahaya, mengatakan syarikat yang membeli tanah itu, SYT Prestige Sdn Bhd sudah disyaratkan membina rumah murah tetapi jaminan itu amat diragui.

Menurutnya, ini kerana apabila arkitek SYT membentangkan permohonan untuk membina 27 rumah kedai kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 28 Mac lalu, tiada sebuah rumah pun dicadangkan untuk dibina apatah lagi rumah kos rendah.

“Dakwaan PERDA bahawa rumah murah akan dibina kemudian selepas rumah kedai, amat mengelirukan dan tidak bertanggung jawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa garis panduan perumahan yang dipakai di seluruh negara mewajibkan rumah murah, seperti rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah, dibina dahulu atau serentak dengan rumah kedai atau rumah mewah.

“Macam mana rumah murah boleh dibina serentak dengan rumah kedai bila tidak ada permohonan dibentangkan untuk bina sebuah rumah pun, jangan pun sebut rumah murah,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Guan Eng meminta Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor supaya tidak berdolak-dalik berikutan kerugian yang ditanggung rakyat Pulau Pinang akibat penjualan tanah PERDA dengan harga yang sangat murah itu.

Katanya, PERDA telah menjual tanah 8.6 ekar itu pada tahun lalu dengan harga RM1.4 juta sedangkan nilaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah RM16.6 juta.

Menurutnya, apa yang membingungkan adalah punca sebenar Shabudin menolak taksiran yang dibuat Kerajaan Persekutuan dalam isu penjualan tanah tersebut.

“Shabudin telah jelaskan bahawa tanah dijual murah (dengan kerugian RM15.2 juta) kerana tanah itu mendap dan hakisan teruk akan mengakibatkan kerugian sebanyak RM10 juta kepada PERDA, dan pada masa yang sama, SYT disyaratkan untuk membina rumah murah bagi rakyat.

“Tetapi alasan Shabudin itu tidak benar sama sekali. Kos rawatan tanah maksima adalah RM5 juta. Macam mana sebuah syarikat boleh cari untung dengan membina rumah murah sekiranya PERDA yang merupakan agensi kerajaan persekutuan yang tidak berasaskan keuntungan, tidak boleh melaksanakannya,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mempertikaikan tindakan PERDA kerana tidak menjalankan jualannya secara tender terbuka supaya mendapat harga tertinggi dan wajar.

“Tidak ada kepastian tentang kos sebenarnya bila PERDA tidak mahu menjelaskan mengapa penjualan tanah dibuat tanpa tender terbuka.

“Tender terbuka membolehkan harga tawaran yang paling tinggi dipilih. Hendak jadi broker tanah pun mesti untung, jangan-jangan rugi dengan menjualkannya tanpa tender terbuka,” jelas beliau.

TAGS