Syarikat Jerman minat bekerjasama dengan PKS tempatan

Syarikat Jerman minat bekerjasama dengan PKS tempatan

Syarikat-syarikat Jerman berminat untuk menjalin kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan membabitkan usaha menyepadukan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dalam sektor seperti aeroangkasa, automotif, bioteknologi, petrokimia dan elektrikal.

Pengerusi Penasihat Pengurusan TAPiO (TAPiO) Bernhard Schutte berkata Bavaria International (Jerman) misalnya telah memberi jaminan bahawa pembentukan sebarang perkongsian itu akan menyaksikan syarikat Malaysia berkuasa penuh terhadap produk mereka selain peluang lebih besar dalam pasaran pengeluaran berkelas dunia menerusi jenama Jerman.

“Menerusi pakatan sedemikian, syarikat-syarikat tempatan boleh memanfaatkan peluang berikutan kehadiran jenama Jerman yang berkualiti tinggi menjadi sebahagian daripada produk atau perkhidmatan masing-masing. Ini sekali gus dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pasaran global, katanya kepada pemberita pada sidang media prapelancaran Bengkel Industri Bavaria 4.0 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud pula berkongsi keyakinan berterusan pelabur Jerman terhadap Malaysia sebagaimana dibuktikan menerusi keputusan mereka untuk mengembangkan serta mempelbagaikan operasi sedia ada di Malaysia.

“Pada 2016, MIDA telah meluluskan 21 projek pembuatan tambahan yang melibatkan pihak Jerman serta pelaburan sebanyak RM2.65 bilion yang menumpukan produk elektrikal dan elektronik, jentera dan peralatan serta produk logam rekaan yang menghasilkan sejumlah 44,833 pekerjaan,” katanya.

Malah, MIDA beserta Bavaria International dan TAPiO akan melancarkan siri bengkel Industri 4.0 di Selangor, Johor dan Pulau Pinang pada bulan ini.

Menurut Azman, inisiatif itu bertujuan merevolusikan ekosistem perindustrian di Malaysia dengan membiasakan penggiat pasaran industri tempatan dengan konsep serta amalan Industri 4.0.

Menerusi bengkel ini, penggiat industri akan mempunyai peluang untuk memastikan operasi mereka seiring dengan syarikat Jerman yang inovatif.

“Industri 4.0 yang melibatkan penggunaan automasi robotik dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan akan meningkatkan kualiti pengeluaran.

“Ini akan membawa keuntungan lebih tinggi, mengurangkan tenaga kerja kurang mahir, meningkatkan produktiviti serta menggalakkan kewujudan lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS