Syor kajian semula persempadanan terbuka untuk dibantah, kata Zahid

Syor kajian semula persempadanan terbuka untuk dibantah, kata Zahid

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti-parti komponen Barisan Nasional dan pembangkang mempunyai peluang secukupnya untuk membuat bantahan berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan semua parti harus meneliti cadangan persempadanan semula termasuk dari segi sama ada ia melibatkan kawasan yang ditambah atau dikecilkan jumlah pengundinya atau ditukar nama.

“Namun, saya tak fikir parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan semua cadangan berkenaan dan saya fikir pembangkang juga tidak semuanya bersetuju dengan cadangan pindaan itu.

“Tetapi saya berpendapat bahawa satu tempoh secukupnya akan ditetapkan SPR untuk membolehkan ketidaksetujuan itu diterjemah dalam bentuk bantahan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri resepsi bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk ketua delegasi yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA).

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan sehingga 14 Okt ini.

Ahmad Zahid seterusnya berkata dalam hal ini, beliau sedar kewujudan kenyataan daripada parti-parti komponen BN sendiri seperti MCA dan Gerakan yang memberi pandangan berbeza berbanding apa yang dikemukakan oleh SPR.

Beliau berkata SPR tentunya mempunyai kayu ukurnya sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu.

“Saya fikir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku (pengerusi) Barisan Nasional akan mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN hujung minggu ini, dan tentunya perkara ini akan dibincangkan sebagai agenda utama,” katanya.

TAGS