Tabung derma awam jamin Guan Eng lepasi RM1 juta, ditutup serta-merta

Tabung derma awam jamin Guan Eng lepasi RM1 juta, ditutup serta-merta

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow 2.30 petang tadi mengumumkan kempen kutipan derma RM1 juta wang jaminan untuk Ketua Menteri Lim Guan Eng dihentikan serta-merta.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima sebanyak RM1,009,000 sejak kempen derma awam itu dilancarkan dalam tempoh 6.00 petang semalam hingga 2.00 petang tadi.

“Dalam tempoh 21 jam sasaran kutipan dicapai, menyamai RM51,000 bagi tiap-tiap jam.

“Saya ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana bukan orang Pulau Pinang sahaja yang melakukan pengorbanan ini demi bersama-sama Saudara Lim Guan Eng menentang rasuah di tanah air ini.

“Kita (DAP Pulau Pinang) boleh umum hentikan kempen ini kerana derma sudah capai sasaran,” ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota kepada pemberita di Wisma DAP dekat Jalan Rangoon.

Hadir sama Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang yang juga Adun Batu Lanchang, Adun Air Itam merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Wong Hon Wai, Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim, Adun Jawi Soon Lip Chee dan Setiausaha DAP Negeri, Lim Hui Ying.

Pada sidang media sama, Hon Wai turut mengumumkan penganjuran program “Berjalan Bersama-sama Lim Guan Eng” dari Lebuh Pantai ke Beach Street pada Ahad, 3 Julai mulai jam 7.30 pagi.

Pada jam 10 pagi hari yang sama, katanya Majlis Penerangan Ketua Menteri Bersama Rakyat akan berlangsung di Dewan Sri Pinang.

“Mereka yang ingin menyertai Gerakan Harapan Bersama Ketua Menteri pada Ahad ini disarankan memakai pakaian warna cerah atau warna lembut sebagai tanda solidariti,” ujar Hon Wai.

TAGS