Tahan pemimpin pembangkang tanda Najib dalam ketakutan

Tahan pemimpin pembangkang tanda Najib dalam ketakutan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Siri penangkapan pemimpin politik pembangkang, anak muda serta aktivis rakyat mutakhir ini menunjukkan pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam ketakutan ekoran terdedahnya pelbagai skandal besar dalam pentadbiran beliau, kata Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.

Menurut beliau, penahanan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) semalam, serta penggunaan Akta Hasutan terhadap Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir dan Aktivis Mahasiswa Shukri Kamaruddin ternyata satu cubaan untuk menakut-nakutkan musuh politik Umno-BN daripada mendedahkan segala kepincangan yang berlaku.

“Datuk Seri Najib mungkin lupa pada pepatah klasik Melayu bahawa ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Anuar, skandal 1MDB dan sejumlah wang RM4.2 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, kini menjadi tumpuan seluruh dunia.

Selain itu, tambahnya pelaksanaan GST yang kini genap setahun hanya menekan dan menindas rakyat terbanyak.

“Sebab itu rakyat mula bertindak ditambah lagi dengan sikap ‘pekak badak’ pentadbiran Datuk Seri Najib yang tidak mahu mendengar rintihan dan suara rakyat yang mahu beliau berundur,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anuar mengulangi pendirian tegas Amanah menentang segala akta drakonian yang cuba dijadikan benteng bagi menutup segala salah laku pemimpin dalam kerajaan.

Amanah juga, tambah beliau menyeru seluruh pemimpin, ahli dan penyokong untuk turun beramai-ramai dalam setiap himpunan solidariti terhadap mangsa-mangsa akta kuku besi sama ada yang masih ditahan atau yang akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

TAGS