Tahniah kepada Mufti Perlis, kata Pas

Tahniah kepada Mufti Perlis, kata Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

PAS mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana sudi membuka gelanggang di negeri itu kepada pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.

Timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan Kelantan juga sudi memberikan ruang kepada Dr Zakir untuk hadir berkongsi dan berdebat hujahnya dengan rakyat di Kelantan sekiranya masa beliau mengizinkan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mufti Pulau Pinang Dr Wan Sali Wan Mohd Nor kerana memberi pandangan bernas dalam menangani isu ini.

“Tindakan dan cubaan menyekat ceramah Dr Zakir Naik sebenarnya memalukan negara. Negara sepatutnya membudayakan dialog dan wacana ilmiah selaras dengan ciri masyarakat makmur dan sejahtera.

“Forum beliau di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan semua tempat lain sepatutnya dilihat dalam pendekatan ilmiah.

“Dr Zakir yang terkenal dengan pendekatan ilmiah dalam mengemukakan hujah di forum terbuka untuk dijawab semua yang sudi hadir sepatutnya diterima baik oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan Hindraf, MIC dan DAP berdepan dengan Dr Zakir dalam forum terbuka.

“Dr Zakir tidak pernah memperlekeh mana-mana agama, sebaliknya meminta masyarakat memikirkan sesuatu perkara secara ilmiah dalam bentuk perbandingan agama.

“Bagi Hindraf, MIC dan DAP, datanglah berdepan dengan Dr Zakir di forum terbuka. Jika beliau ada memperlekehkan agama lain ketika forumnya, maka tindakan boleh diambil selepas itu.

“Tidak perlu mana-mana pihak menjatuhkan hukuman atau menggelar nama jijik pada beliau sebelum apa-apa berlaku,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof. Ramasamy yang sebelum ini menulis di facebook dengan menggelarkan Dr Zakir sebagai ‘syaitan’ menggugurkan perkataan itu hari ini.

TAGS