Tahun 2020 tahun melawat Perlis

Tahun 2020 tahun melawat Perlis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Pelancongan Negeri Perlis memutuskan tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Perlis yang akan dilaksanakan secara besar-besaran, kata Pengarah Tourism Malaysia Cawangan Perlis, Razaidi Abd Rahim.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis tersebut baru-baru ini.

“Tourism Malaysia Perlis telah diberi tanggungjawab merangka program-program berimpak tinggi dan mengenal pasti produk-produk sedia ada untuk dinaik taraf bagi menarik kehadiran pelancong.

“Kita akan gunakan pelbagai platform untuk mempromosi Perlis secara agresif termasuk ke luar negara dalam masa tiga tahun ini,” katanya kepada pemberita pada majlis bersama pengamal media di sini semalam.

Menurut Razaidi, antara aspek yang akan diberi tumpuan untuk menawan pelancong datang ke Perlis ialah kualiti perkhidmatan, tempat penginapan dan makanan serta program pelancongan yang menarik.

Razaidi berkata sehubungan itu tiga program utama iaitu Pesta Angin Timur, Maraton Antarabangsa Perlis dan Pesta Air Kuala Perlis akan ditambah baik dan dibuat dalam skala lebih besar di samping beberapa program baru akan diperkenalkan.

Selain itu Homestay Paya Guring, Homestay Felda Mata dan dan Homestay Ujung Bukit yang berdaftar dengan agensi itu akan diberi peruntukan bagi menambah baik dan meningkatkan keceriaan mereka, tambahnya.

Beliau berkata homestay yang beroperasi secara tidak sah tetapi memenuhi kriteria akan diminta untuk mendaftar supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka.

Dalam ucapannya, beliau berkata Perlis mempunyai produk yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa seperti Gua Kelam selain Pesta Angin Timur, Maraton Antarabangsa Perlis dan Pesta Air Kuala Perlis.

Razaidi turut meminta pihak media agar menghebahkan aktiviti dan usaha Tourism Malaysia memajukan industri pelancongan di Perlis.

Pengamal media diberi penghargaan pada majlis tersebut.

TAGS